ANTARA Pati yang ditahan dalam kejadian berkenaan. FOTO Ihsan APMM
ANTARA Pati yang ditahan dalam kejadian berkenaan. FOTO Ihsan APMM
Zuhainy Zulkiffli


Balik Pulau: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan 14 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia yang cuba memasuki perairan negara, di sini, semalam.

Kesemuanya ditahan ketika pasukan berkenaan melakukan rondaan Op Pertiwi di kedudukan 2.9 batu nautika barat daya Sungai Pinang.

Pengarahnya, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, terdahulu, pihaknya menerima maklumat daripada komuniti nelayan berhubung sebuah bot dalam keadaan mencurigakan jam 9.30 pagi.

Susulan itu, ia membawa kepada penahanan bot kayu terbabit yang dinaiki seramai 14 lelaki warga Indonesia termasuk tekong.

"Ketika dihampiri bagi melakukan pemeriksaan, seramai empat daripadanya bertindak terjun laut bagi melarikan diri, namun cubaan mereka gagal selepas berjaya ditahan bersama Pati lain.

"Siasatan mendapati mereka dalam perjalanan dari pangkalan daerah Seruway, Aceh, memasuki negara ini menerusi jalan laut yang tidak diwartakan," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Razak berkata, semua Pati yang ditahan berusia antara 21 hingga 51 tahun.

Katanya, mereka dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban sebelum diserah kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Akta Antipmerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Akta Imigresen 1959/63 iaitu kesalahan melakukan aktiviti penyeludupan migran dan memasuki Malaysia melalui pintu yang tidak diwartakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2022 @ 9:36 AM