Seorang pekerja pasaraya (tengah) didenda RM300 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memperdaya seorang pelajar UTEM tiga tahun lalu di Mahkamah Majistret Alor Gajah. NSTP/KHAIRUNISAH LOKMAN
Seorang pekerja pasaraya (tengah) didenda RM300 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memperdaya seorang pelajar UTEM tiga tahun lalu di Mahkamah Majistret Alor Gajah. NSTP/KHAIRUNISAH LOKMAN
Nur Saliawati Salberi


SEORANG pekerja pasar raya didenda RM300 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah, hari ini, selepas didapati bersalah membenarkan individu tidak dikenali menggunakan akaun bank miliknya.

Majistret Zaridah Y Abdul Jaapar, menjatuhkan hukuman itu ke atas Chin Wei Yong, 26, selepas tertuduh mengaku bersalah sejurus pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyembunyikan harta dengan curang milik pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berusia 25 tahun berjumlah RM2,050 melalui akaun Ambank yang didaftarkan atas namanya.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di mesin ATM kedai serbaneka 24 jam di Bukit Mahkota Bangi, Selangor pada 4.29 petang, 6 Mei 2016.

Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau dengan kedua-dua jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya S Arthana memohon hukuman setimpal dikenakan ke atas tertuduh.

Peguam Loong Meng Si yang mewakili Chin merayu hukuman diringankan kerana tertuduh hanya bekerja dengan pendapatan sebanyak RM900 sebulan, selain menanggung adik yang masih bersekolah selepas kematian ibu bapanya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian memerintahkan Wei Yong didenda RM300 atau sebulan penjara jika gagal menjelaskan denda dikenakan dan tertuduh membayar denda.

Terdahulu mengikut fakta kes, sehari sebelum kejadian mangsa, pelajar UTem, yang ketika itu di UTeM dihubungi lelaki tidak dikenali mengatakan mangsa memenangi cabutan bertuah daripada syarikat telekomunikasi sebanyak RM5,000.

Suspek yang masih bebas memberitahu mangsa perlu membuat pembayaran sebelum hadiah tunai itu dipindahkan ke akaunnya.

Mangsa membuat pembayaran pendahuluan itu sebagaimana yang diminta dan memindahkan sejumlah wang ke akaun yang diberi suspek.

Wang yang dipindahkan itu dimasukkan ke dalam akaun tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 3:13 PM