Mohd Hilmie Hussin


TUKANG masak restoran mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Alor Gajah, hari ini, atas dua tuduhan menipu dan mempedaya penuntut institusi pengajian tinggi berkaitan urusan jualan pelbagai barnagan lelong kastam, kira-kira dua tahun lalu.

Pengakuan tertuduh, Kau Keng Fong, 46, dibuat di hadapan Majistret Zaridah Y Abdul Jaapar, selepas mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mempedaya Muhammad Hasraf Ramli, 23, untuk pembelian empat unit TV dan 15 telefon pintar lelongan Kastam yang tidak wujud sehingga mendorong mangsa memasukkan wang secara berperingkatberjumlah RM3,050 ke akaun bank milik tertuduh. Kesalahan itu dilakukan tertuduh sekitar 8.16 pagi hingga 1.20 tengah hari pada 28 Ogos 2017 di BSN Cawangan Alor Gajah.

Manakala pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mempedaya mangsa sama untuk pembelian barangan elektrik yang sama sehingga mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM600 ke akaun bank tertuduh. Kesalahan itu dilakukan tertuduh pada 1.27 tengah hari, 29 Ogos 2017 di lokasi yang sama.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi kedua-dua pertuduhan, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Mengikut fakta kes, mangsa yang juga penuntut berkerja sambilan sebagai penjual buah di pekan Pulau Sebang, Alor Gajah, didatangi tertuduh menawarkan jual beli barangan murah kastam dan pengadu bersetuju membeli empat unit TV LCD 60 inci berharga RM150 seunit, dan 15 telefon pintar berharga RM200 seunit.

Pada 28 Ogos 2017, mangsa memindahkan wang RM2,000 dari akaun banknya ke akaun bank tertuduh. Selepas itu, mangsa menerusi tiga lagi transaksi memasukkan wang berjumlah RM1,650 ke akaun tertuduh.

Selepas wang dipindahkan, mangsa cuba hubungi tertuduh namun gagal dan sehingga mangsa membuat laporan polis, barangan yang dibeli tidak diterima dan mangsa kerugian RM3,650.

Terdahulu, Zaridah meminta Arthana menyemak semula pertuduhan dan menangguhkan keputusan hukuman.

Timbalan Pendakwa Raya S Arthana mencadangkan tertuduh dijamin RM5,000.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Loong Meng Si, merayu supaya anak guamnya diberi jaminan yang rendah kerana mempunyai pendapatan RM1,600 dan terpaksa menanggung nafkah bekas isteri dan dua anak berusia 15 dan 18 tahun.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Zaridah menawarkan jaminan RM4,000 dan menetapkan 12 Jun depan untuk sebutan semula dan keputusan hukuman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 10:10 PM