FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

SEORANG peniaga barang lusuh dan pemandu lori masing-masing didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini selepas mengaku bersalah membuang sisa pepejal terkawal pada 21 dan 24 Julai 2017.

Mengikut pertuduhan, pemandu lori, Chin Chee Aun, 48, didakwa melonggokkan sisa pepejal pembinaan tanpa kebenaran di tanah simpan sungai beralamat di Jalan PK 23, Kawasan Perindustrian Krubong pada 1.05 tengah hari, 21 Julai 2017.

Peniaga barang lusuh, Chua Eng Kit didakwa melonggokkan sisa pepejal pembinaan tanpa kebenaran di tanah milik orang perseorangan beralamat di Lot 556, Mukim Krubong pada 1.20 tengah hari, 24 Julai 2017.

Kedua-dua individu terbabit didakwa mengikut seksyen 71 (1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 71(8) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwaan daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCrop) Negeri Melaka, Abd Hadi Abd Wahab dan Siti Adora Rahtimin, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohammad Aqmal Abu Bakar.

Hakim, Norma Ismail menjatuhkan hukuman denda masing-masing RM10,000 kepada kedua-dua tertuduh dan penjara lima bulan jika gagal bayar denda.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 12:47 PM