Murid (SK) Pogoh, Segamt, berendam di dalam kolam kanvas untuk menyejukkan badan. FOTO Ahmad Ismail.
Murid (SK) Pogoh, Segamt, berendam di dalam kolam kanvas untuk menyejukkan badan. FOTO Ahmad Ismail.
Ahmad Ismail


BAGI mengelak murid terdedah kepada risiko strok haba pihak pengurusan Sekolah Kebangsaan (SK) Pogoh, Segamat, menyediakan kolam renang kanvas mudah alih sejak beberapa hari lalu.

Guru Besar SK Pogoh, Jurimi Kasran berkata, kolam seluas 4X5 meter itu membolehkan murid menyejukkan badan.

“Disebabkan cuaca panas melampau sejak kebelakangan ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyarankan semua aktiviti luar kelas dibatal atau dipendekkan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

“Pada masa sama, pengurusan berbincang dengan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) dan Penglibatan Ibu Bapa Komuniti (PiBK) sebelum semua pihak sepakat menyediakan kolam kanvas mudah alih sejak beberapa hari lalu untuk kegunaan murid mandi pada waktu persekolahan,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif itu terbukti menyegarkan murid dan mengurangkan rasa tidak selesa akibat cuaca panas.

Katanya, inisiatif diambil juga membantu murid untuk lebih fokus ketika berada di dalam kelas.

Menurutnya, keberkesanannya dapat dilihat apabila semua 254 murid sekolah itu tidak lagi mengadu kepanasan atau kurang selesa akibat cuaca panas.

Jelasnya penyediaan kolam tidak menjejaskan waktu pembelajaran kerana hanya menggantikan waktu aktiviti sukan dan kokurikulum yang sepatutnya dijalankan di padang.

“Selain itu murid turut dibenarkan menggunakan kolam bagi menyejukkan badan selepas tamat waktu persekolahan namun mereka mesti memberitahu ibu bapa atau penjaga masing-masing.

“Bagi memastikan keselamatan murid terjamin, kami menugaskan seorang kakitangan secara bergilir-gilir untuk memantau pengguna kolam berkenaan yang sedalam 0.8 meter saja.

“Kolam ini boleh menampung 40 orang pada satu-satu masa. Setiap murid dibenar menggunakannya untuk tempoh 15 minit saja,” katanya.

Menurutnya, semua pengguna perlu memakai pakaian sopan dan menutup aurat serta tidak boleh meletak objek tajam seperti pen atau pensil di dalam poket bagi mengelak kecederaan.

Katanya, selain itu pihaknya memantau kandungan air di dalam kolam itu bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

“Kami bertuah kerana ada pihak yang sanggup meminjamkan kolam berkenaan dan buat masa ini, semua murid boleh mandi di kolam itu sekiranya mereka mengikut peraturan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 4:26 PM