Orang ramai melawat tapak memorial mengingati mangsa pembunuhan di Taman Botani Christchurch, New Zealand, hari ini. FOTO Reuters.
Orang ramai melawat tapak memorial mengingati mangsa pembunuhan di Taman Botani Christchurch, New Zealand, hari ini. FOTO Reuters.
Fairul Asmaini Mohd Pilus dan Suraya Roslan


PENGGANAS yang menyerang dua masjid di Christchurch dikatakan pernah dilihat berlegar di sebuah masjid di Hamilton, beberapa minggu sebelum kejadian tembakan, 15 Mac lalu.

Memetik laporan portal berita stuff.co.nz, beberapa jemaah di Masjid Jamia, Claudelands, Hamilton mendakwa mereka pernah melihat suspek di kawasan masjid itu.

Presiden Persatuan Muslim Waikato, Dr Asad Mohsin berkata, jemaah itu memberitahu mereka melihat seorang lelaki memakai topi yang kelihatan sama sepertinya duduk membaca akhbar berhampiran masjid.

Katanya, beberapa penduduk pula mendakwa lelaki itu pernah menginap di sebuah motel yang terletak bersebelahan masjid terbabit.

Namun, kakitangan motel Boundary Court Motor Inn tidak dapat memastikan lelaki berkenaan tanpa memperoleh maklumat lanjut termasuk tarikh dia dipercayai dilihat.

“Selain itu, ada beberapa saksi yang mengatakan mereka pernah terserempak dengan lelaki terbabit di hentian bas di depan pintu masuk (masjid).

“Pendedahan itu sememangnya mengejutkan kami semua kerana bukan seorang yang mengaku pernah terserempak dengan lelaki terbabit tetapi lebih daripada tiga jemaah.

“Ia adalah sesuatu yang kami tidak pernah bayangkan, tidak pernah mimpikan,” katanya.

Dalam pada itu, Sarjan Kanan Pete Simpson dari Balai Polis Waikato berkata, semua dakwaan berkenaan kini sedang disiasat.

“Masih tidak pasti sama ada dakwaan jemaah masjid itu benar atau tidak, namun pihak polis tetap menyiasat dari segala sudut,” katanya.

Komander Daerah Waikato, Bruce Bird pula berkata, pasukan polis yang lengkap bersenjata kini ditempatkan di kawasan masjid itu sepanjang masa.

“Pasukan polis akan kekal mengawal masjid berkenaan dalam tempoh beberapa minggu akan datang kerana fokus utama kerajaan New Zealand ketika ini adalah memastikan keselamatan penduduk terjamin.

“Ini kerana kami masih tidak mengetahui sejauh mana tahap ancaman keselamatan ketika ini dan langkah terbaik adalah sentiasa berjaga-jaga,” katanya.

Serangan tembakan tidak berperikemanusiaan oleh lelaki dikenali Brenton Tarrant ke atas Masjid Al-Noor dan Masjid Linwood, Jumaat lalu mengorbankan lebih 50 mangsa dan menyebabkan puluhan lagi penganut Islam cedera.

Tarrant, warganegara Australia ditahan sejurus selepas serangan itu dan didakwa di Mahkamah Daerah Christchurch atas tuduhan membunuh.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Christchurch
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 3:07 PM