Dua lelaki yang disyaki mencuri pelbagai jenis ikan dan sotong di sebuah restoran ikan bakar di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu direman empat hari. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Dua lelaki yang disyaki mencuri pelbagai jenis ikan dan sotong di sebuah restoran ikan bakar di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu direman empat hari. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


DUA sahabat ditahan selepas disyaki mencuri pelbagai jenis ikan dan sotong yang dianggarkan bernilai RM1,500 milik sebuah restoran ikan bakar di Pantai Batu Buruk di Kuala Terengganu pada Selasa lalu.

Perbuatan kedua-dua lelaki masing-masing berusia 38 dan 46 tahun itu terbongkar susulan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berjaya merakamkan nombor pendaftaran motosikal digunakan mereka.

Menurut sumber, kejadian itu hanya disedari pekerja di restoran berkenaan pada 3 petang ketika membuat persiapan untuk memulakan perniagaan.

Katanya, sebaik membuka peti ais untuk mengambil ikan yang disimpan, pekerja terbabit terkejut apabila mendapati beg plastik yang mengandungi beberapa ekor ikan kerapu, siakap, pari dan sotong.

“Hasil pemeriksaan CCTV kemudiannya menunjukkan terdapat dua lelaki tidak dikenali menunggang dan membonceng sebuah motosikal dan melarikan beg plastik berisi ikan dan sotong berkenaan.

“Melalui rakaman CCTV itu, polis berjaya mengesan dua lelaki terbabit sebelum kedua-duanya ditahan di dua lokasi berasingan di sekitar bandar raya ini kelmarin,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret/ Sesyen Kuala Terengganu, Wan Aziantie Wan Ab Karim membenarkan dua suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 5:58 PM