MUHAMMAD Suffi dalam sidang media di Kemaman. FOTO ROSLI ILHAM
MUHAMMAD Suffi dalam sidang media di Kemaman. FOTO ROSLI ILHAM
Rosli Ilham


KEPUPUSAN sotong di perairan Vietnam menjadi dorongan nelayan negara itu semakin berani menceroboh perairan Terengganu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, keadaan itu menyebabkan harga sotong di negara itu meningkat beberapa kali ganda sekali gus mendorong nelayan terbabit sanggup menceroboh perairan negara ini.

Bagaimanapun, menurutnya, APMM yang sentiasa memantau kehadiran mereka bagi mengekang daripada nelayan terbabit mencuri hasil laut negara ini.

"Terbaru, kami berjaya menahan empat bot nelayan Vietnam di jarak 162 hingga 166 batu nautika dari Kemaman dan merampas kira-kira 1.5 tan hasil ikan campur serta ikan bermutu tinggi termasuk sotong.

"Dalam Op Iman yang kita lakukan itu, kita berjaya menahan bot terbabit dipercayai dalam perjalanan keluar dari perairan negara selepas merompak hasil laut negara kita.

"Selepas membuat pemeriksaan kesemua bot berkenaan didapati tidak mempunyai lesen kebenaran menangkap ikan di perairan negara Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia," katanya ketika sidang media di pejabat APMM Kemaman hari ini.

DUA daripada empat bot nelayan Vietnam yang ditahan. FOTO ROSLI ILHAM
DUA daripada empat bot nelayan Vietnam yang ditahan. FOTO ROSLI ILHAM

Muhammad Suffi berkata, pihaknya merampas hasil tangkapan laut, bekalan diesel, bot dan peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai hampir RM5 juta.

"Kesemua 31 awak termasuk tekong bot terbabit berusia 16 hingga 55 tahun itu yang tidak mempunyai pengenalan diri yang sah dibawa ke Jeti APMM Kemaman untuk siasatan lanjut.

"Kesemua mereka juga menjalani proses saringan Covid-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan hasil keputusan ujian terbabit kesemua mereka negatif," katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia.

Katanya, mereka juga disiasat mengikut Akta Imigresen kerana tekong dan awak-awak tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 5:07 PM