PILIHAN sesuai untuk sekeluarga.
PILIHAN sesuai untuk sekeluarga.
Aniza Zainudin


Rahsia keenakan sajian disediakan K’Chiang Mai Ikan Bakar terletak pada keunikan kombinasi tiga rasa, pedas, masam dan manis dalam setiap hidangan.

Fokus pada menu makanan laut bakar, restoran milik Khaireel Amri Mohd Yusof, 45, ini terkenal dalam kalangan peminat ikan bakar segar dan hidangan ala Thai.

“Di sini, kami menyajikan pelbagai jenis ikan laut dan sungai termasuk siakap, kerapu, bawal, pari, tilapia, keli serta sotong dan kerang.

“Kami juga memperkenalkan konsep pilih dan timbang sekali gus memberi kuasa kepada pelanggan memilih sendiri bahan mentah berdasarkan saiz dan kualiti yang dijamin kesegarannya.

“Kebanyakan pelanggan memilih untuk menjamu menu ikan siakap bakar Chiang Mai dan ia antara sajian tanda pengenalan K’Chiang Mai Ikan Bakar, selain sotong goreng tepung, tomyam putih, somtam, ikan siakap stim limau dan ikan siakap tiga rasa,” katanya ketika ditemui.

Menyingkap rahsia menu popular, ikan bakar Chiang Mai, Khaireel Amri berkata, keistimewaannya terletak pada sos pencecah tiga rasa yang dihasilkan daripada asam, limau, cili padi, cili merah, bawang dan belacan.

Berbanding memerap ikan bersama herba, ikan mentah dibakar begitu sahaja untuk mengekalkan rasa manisnya.

Untuk menambah keenakan ikan bakar, sajian ini lebih sempurna apabila ia dijamu bersama dua pilihan sos sama ada pedas atau pedas manis.

Resipi ikan stim limau pula diubah suai mengikut cita rasa Khaireel Amri namun mengekalkan identiti istimewa Chiang Mai.

“Untuk menghasilkan hidangan ini (ikan stim limau), kami menggunakan manisan dari Chiang Mai, iaitu sejenis campuran madu, dimasak bersama pati perahan limau nipis, bawang putih jeruk, cili padi dan cili merah.

“Kami tidak menggunakan cuka makanan dalam setiap hidangan. Seperti ikan stim limau ini, rasa masam berasal daripada jus perahan limau yang dimasukkan bersama,” katanya.

Bagi penggemar tomyam putih, mereka pasti tertarik dengan keenakan rasa asli tomyam Chiang Mai yang sempurna.

Ini kerana ia dimasak tanpa menggunakan pes tomyam sebaliknya ramuan asli seperti serai, daun limau, pati limau, bawang putih dan merah serta bawang Holland.

Istimewanya menu sotong goreng tepung, ia menggunakan empat jenis tepung iaitu tepung gandum, tepung jagung, tepung beras dan tepung kanji bersama rempah sekali gus menjadikan ia lebih rangup apabila dimakan.

Hidangan somtam pula adalah pelengkap selera. Ia sejenis salad dihasilkan daripada hirisan betik muda dan mangga, dihiasi kacang panjang, kacang tanah serta perahan jus limau.

Beroperasi setiap hari bermula jam 1 tengah hari hingga 12.45 tengah malam, Restoran K’Chiang Mai Ikan Bakar mampu memuatkan kira-kira 120 pelanggan dalam satu masa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2017 @ 8:44 AM