FOTO Arkib NSTP
FOTO Arkib NSTP
Abnor Hamizam Abd Manap


LEMBAGA Pertubuhan Peladang (LPP) menggalakkan ahlinya menanam durian bagi menjana pendapatan dan kekayaan menerusi tanaman berkenaan berikutan durian kini menjadi sumber kekayaan baharu negara.

Pengerusi LPP Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, pihaknya sedia membantu ahlinya dalam pembangunan industri durian.

Katanya, durian mampu mendatangkan sumber ekonomi yang menguntungkan berikutan banyak pihak terbabit seperti pembekal benih, pembekal baja, pemasaran dan produk berasaskan durian.

"Disamping menggalakkan ahli menjana pendapatan, LPP juga secara tidak langsung ingin mempromosikan industri kulinari berasaskan durian kepada ahli seperti disaran Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan.

"Durian boleh dimasak menjadi bahan masakan, lempok, jem dan tempoyak selain boleh diproses dijadikan serbuk, kek, pastri dan pelbagai menu berasaskan durian," katanya ketika ditemui media pada program Sehari Di Dusun di Dusun Durian Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Jelebu di Sungai Muntoh, Titi, Jelebu.

Hadir sama, Ketua Pengarah LPP Azulita Salim, Pengarah LPP Negeri Sembilan Mohd Khairi Mohd Hadzir dan Pengerusi PPK Jelebu Mustakim Mohamad.

Nik Muhammad berkata, durian dianggap produk premium kerana mendapat permintaan tinggi dalam dan luar negara.

Katanya, kelazatan, kualiti dan khasiat durian membuka pasaran di luar negara terutamanya China.

Tambahnya, Negeri Sembilan mempunyai dusun durian seluas 2,378 hektar dengan pelbagai jenis antaranya durian kampung, duri hitam, musang king, D24 dan udang merah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 1:52 PM