MAZLAN (tiga kiri) bersama Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat Abdul Razak Kasbollah (dua kiri) melihat anak pokok cili yang berada dalam rumah lindungan hujan sebelum dipindahkan ke plot fertigasi. FOTO Sairien Nafis
MAZLAN (tiga kiri) bersama Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat Abdul Razak Kasbollah (dua kiri) melihat anak pokok cili yang berada dalam rumah lindungan hujan sebelum dipindahkan ke plot fertigasi. FOTO Sairien Nafis
Rafidah Mat Ruzki


LEMBAGA Pertubuhan Peladang (LPP) menyasarkan sekurang-kurangnya 10 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh negara akan mampu mengeksport hasil masing-masing pada masa depan.

Pengerusinya Datuk Mazlan Aliman berkata, 10 PPK itu akan mencontohi PPK Kuala Langat yang ketika ini sudah mengeksport kira-kira 2,500 kilogram membabitkan 11 jenis hasil pertanian ke Jeddah, Arab Saudi melalui lima penghantaran menerusi udara.

Menurutnya, beliau sudah meminta Pengurus Besar PPK Kuala Langat Mohd Shakran Shamsuddin menyediakan modul yang boleh digunapakai oleh PPK lain yang berminat dan berupaya untuk mencontohi pengusaha di daerah ini.

“Idea ini timbul kerana saya perlu berikan jawapan kepada PPK lain kerana mereka mempersoalkan adakah PPK Kuala Langat yang diberikan tumpuan.

“Saya minta PPK Kuala Langat untuk menyediakan modul yang boleh dikongsikan dengan PPK lain dan kami mensasarkan sekurang-kurangnya 10 PPK setahun akan mampu mengeksport hasil mereka.

“Modul itu akan disiapkan dalam masa dua minggu ini dan ia termasuk sistem pengredan hasil pertanian sesuai untuk eksport,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Lori PPK Kuala Langat di Ladang Satelit PPK Kuala Langat, Banting, hari ini.

Sementara itu, Mohd Shakran berkata, PPK Kuala Langat mula mengeksport hasil pertanian selepas seorang pengusaha kedai Asia di Jeddah yang juga rakyat negara ini datang melawat dan membuka laluan untuk eksport kepada pengusaha ladang.

Katanya, kira-kira 400 pengusaha mengeksport pelbagai hasil pertanian termasuk cili, cili padi, halia muda, lengkuas, pengaga, limau kasturi dan daun kunyit untuk pasaran di negara Arab itu dengan 500 kilogram sekali hantar.

“Kita mula eksport ke Jeddah pada awal Januari lalu dan sudah lima kali hasil pertanian dihantar ke sana dengan jumlah eksport lebih RM100,000,” katanya.

Seorang pengusaha, Shawal Misban, 35, berkata, beliau tidak menyangka hasil pertaniannya mampu dieksport ke Jeddah berikutan permintaan halia muda dalam negara juga tinggi berbanding bekalan sehingga Malaysia terpaksa mengimport dari negara jiran seperti Thailand.

“Saya tidak sangka kerana risau ia akan rosak apabila sampai tetapi dimaklumkan halia muda, lengkuas, kunyit dan daun kunyit yang dihantar tidak terjejas.

“Melihatkan itu, saya berharap dapat menerima lebih banyak permintaan di masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 7:46 PM