Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Hilmie Hussin


ENAM puluh lima peratus bangunan premis milik kerajaan di seluruh negara belum mempunyai Sijil Perakuan Bomba (Fire Certificate -FC).

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Mohmmad Hamdan Wahid berkata, ia mengundang risiko besar bukan saja kepada orang awam yang mengunjungi premis kerajaan malah kakitangan awam bertugas.

Justeru itu katanya, beliau mahu setiap premis milik kerajaan mendapatkan FC ini.

“Kita bukan nak susahkan kementerian lain tapi takkan selepas berlaku insiden baru kita nak sedar.

“Tengok apa yang berlaku di Hospital Sultanah Aminah (Johor Bahru), orang akan persoalkan kenapa tidak buat (tidak ada FC)?

“Tahun ini, kita akan lebih agresif mahu pastikan semua premis bangunan milik kerajaan ada FC,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 JBPM Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Zin Salleh.

Seramai 36 pegawai negeri menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018, dan 12 pegawai lagi menerima Pingat Kebesaran Jabatan 2019 pada majlis terbabit.

Mengulas lanjut, Mohammad Hamdan berkata, terdapat 649 premis bangunan milik kerajaan di seluruh negara dan hanya 226 premis saja memiliki FC.

“Begitupun, 283 premis milik kerajaan dalam proses memohon manakala 140 lagi belum memohon dan tidak pernah diperiksa,” katanya.

Katanya, untuk tahun ini, pihaknya akan fokus kepada premis kerajaan seperti hospital, dormitari serta tempat perhimpunan terlebih dulu daripada sembilan kumpulan sasaran.

Menurutnya, selepas tiga kumpulan sasaran itu selesai mendapat FC, pihaknya akan fokus kepada bangunan pejabat, perpustakaan awam serta gudang.

Beliau berkata, tindakan pihaknya mahu setiap bangunan kerajaan memiliki FC kerana meletakkan nilai nyawa yang sama tinggi, tanpa membezakan kerajaan dan swasta.

“Kerajaan sendiri mempunyai liabiliti, jika pekerja atau kakitangan cedera, bagaimana mahu buat tuntutan dan pampasan serta menguruskan saman?

“Ini menunjukkan kerajaan juga mempunyai obligasi sama seperti swasta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 10:01 PM