MOHAMMAD Hamdan beramah mesra dengan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat (tiga, kiri) dan pengamal media pada pada Istiadat Penganugerahan Pingat Kebesaran JBPM. FOTO BERNAMA
MOHAMMAD Hamdan beramah mesra dengan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat (tiga, kiri) dan pengamal media pada pada Istiadat Penganugerahan Pingat Kebesaran JBPM. FOTO BERNAMA
Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) mempunyai kekuatan mencukupi untuk ditugaskan semasa penularan Covid-19 yang melanda negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, berkata, pihaknya juga mempunyai peralatan mencukupi untuk proses nyah cemar di kawasan wabak itu menular termasuk di depoh tahanan serta penjara.

"Dari segi siap siaga, kita sudah mempersiapkan diri sejak Februari lalu iaitu ketika kepulangan rakyat Malaysia dari Wuhan, China. JBPM mempunyai kerjasama erat dengan pelbagai pihak dan ia memudahkan bomba untuk menjalankan operasi.

"Kami turut bekerjasama dengan pegawai di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), mana-mana kawasan yang dikenalpasti oleh PKD untuk proses nyah cemar, kita akan lakukan.

"Selain itu, pihak JBPM turut menerima sumbangan peralatan seperti bahan kimia untuk proses nyah cemar daripada pihak swasta. Atas sebab itu kita tidak menghadapi sebarang masalah kekuatan anggota atau pun peralatan semasa penularan Covid-19 di negara ini," katanya selepas menyampaikan Penganugerahan Pingat Kebesaran JBPM, di sini, tadi.

Mohammad Hamdan berkata, proses nyah cemar dilaksanakan dengan cara berbeza mengikut keperluan serta kawasan.

"Contohnya jika tempat penularan Covid-19 itu di depoh tahanan atau penjara, kaedah yang digunakan adalah berbeza. Jika di penjara atau depoh tahanan, kita akan menggunakan khidmat Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) serta memakai pakaian perlindungan maksimum.

"Peralatan dan bahan kimia yang digunakan juga berbeza mengikut kawasan. Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk pelaksanaan proses nyah cemar juga berbeza jika dilaksanakan di zon hijau," katanya.

Mohammad Hamdan berkata, sejak Februari lalu sebanyak 10,300 program sanitasi dan nyah cemar sudah dilakukan oleh pihaknya membabitkan 13,200 premis di seluruh negara.

Sementara itu, mengenai majlis berkenaan, Mohammad Hmadan berkata, seramai 109 individu menerima Pingat Kebesaran JBPM. Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat mendahului senarai penerima pingat kebesaran apabila dianugerahkan Pingat Ketua Pengarah (PKP).

Selain itu, seramai 77 lagi individu dianugerahkan Pingat Cemerlang Bomba (PCB) terdiri daripada pegawai daripada pelbagai bahagian yang memberikan sumbangan bakti kepada kelangsungan jabatan selama mereka dalam perkhidmatan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19



  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2020 @ 6:04 PM