Mohammad Hamdan Wahid. FOTO Aswadi Alias.
Mohammad Hamdan Wahid. FOTO Aswadi Alias.
Suhaila Shahrul Annuar


SEBANYAK 140 bangunan kerajaan di seluruh negara dengan 39 daripadanya terletak di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya belum memiliki Sijil Perakuan Bomba (FC).

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, semua bangunan berkenaan dikategorikan sebagai ‘designated building’ (bangunan ditetapkan) perlu memiliki FC.

Katanya, sebagai bangunan dikategorikan sebagai bangunan ditetapkan ia perlu memenuhi syarat tertentu antaranya menubuhkan Jawatankuasa Kebakaran Bangunan (OKK) dalam kalangan pihak pengurusan dan Pengurus Keselamatan

Kebakaran.

Beliau berkata, turut ditetapkan adalah sistem kawalan pengesanan kebakaran automatik yang menjadi sebahagian syarat untuk mendapatkan FC sebagaimana diperuntukkan dalam Akta 341.

“Kita masih melakukan pemeriksaan dan mengenal pasti kelemahan serta peralatan perlu dipasang. Mereka juga sudah ambil inisiatif memperbetulkan secara berperingkat aspek keselamatan kebakaran yang perlu.

“Jika berkaitan penyelenggaraan ini ia memerlukan peruntukan kewangan yang besar dan kita faham,” katanya, pada sidang media selepas Majlis Istiadat Pengurniaan Pingat Kebesaran JBPM, hari ini.

Seramai 124 penerima dianugerahkan pingat kebesaran JBPM termasuk Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye yang menerima Pingat Ketua Pengarah (PKP).

Menurutnya, penyelenggaraan mengambil masa, namun pihaknya berharap semua bangunan kerajaan di Putrajaya mendapat FC tahun depan.

“Itu adalah tempoh yang kita boleh bagi, jika kegagalan pematuhan sangat kritikal mungkin tindakan boleh diambil kepada pemilik bangunan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 2:21 PM