BERNAMA

Melaka: Kira-kira 86 peratus daripada 8,500 bangunan di seluruh negara, ditetapkan untuk mempunyai Sijil Perakuan Bomba (FC) meliputi bangunan kerajaan, premis industri, komersial, pusat beli belah, hotel penginapan dan bangunan pejabat.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, semua bangunan itu perlu diperiksa dan diuji tahap keselamatan bagi mendapatkan perakuan yang diperbaharui setiap tahun itu selari dengan kehendak Akta Bomba dan Penyelamat 1988.

"Bagi negeri seperti Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak iaitu di pusat bandar yang besar, ia mempunyai jumlah bangunan lebih banyak perlu diperiksa untuk mendapatkan perakuan FC itu.

"Bangunan itu seharusnya mempunyai risiko kebakaran yang melepasi tahap tertentu diklasifikasikan di bawah Akta 341 dan ia penting jika berlaku sebarang kecemasan di premis, ia boleh dicegah atau dikawal di peringkat awal selain tidak menyebabkan kerosakan atau kemudaratan yang teruk," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohammad Hamdan memberi ucapan semasa Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Melaka di Casa Del Rio, Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Mohammad Hamdan memberi ucapan semasa Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Melaka di Casa Del Rio, Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) peringkat negeri Melaka di Kota Laksamana di sini hari ini.

Hamdan berkata, sebahagian daripada bangunan terbabit masih dalam proses pemeriksaan disebabkan kekangan sebelum ini yang menghalang pemeriksaan dilakukan secara menyeluruh, ekoran sekatan pergerakan.

"Ada sesetengah pula minta ditunda pemeriksaan bagi menyelenggara dan membaiki bangunan agar dapat memenuhi syarat memiliki FC itu. "Justeru, pihak bomba menasihatkan mereka yang belum mendapat sijil perakuan bomba ini agar tampil dan berbincang bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta 341," katanya.

Pada majlis itu beliau turut menyampaikan skim takaful dan sumbangan berjumlah hampir RM194,000 kepada Noraida Che Nor iaitu balu Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh, anggota bomba yang lemas selepas melakukan kerja-kerja menyelamat mangsa banjir di Sungai Putat, Batu Berendam Oktober lalu.

Sumbangan itu meliputi Skim Takaful Berkelompok, Koperasi Pekerja Bomba dan Penyelamat Malaysia Berhad, Kesatuan Pekerja Bomba dan Penyelamat Semenanjung Malaysia dan Ibu Pejabat JBPM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 5:48 PM