Mohd Nasif Badruddin

Tanggapan negatif mengatakan pelajar tahfiz mempunyai peluang pekerjaan terhad tidak benar sama sekali, sebaliknya mereka juga dapat menyambung pengajian hingga ke luar negara selepas tamat hafalan 30 juzuk al-Quran.

Memang benar pelajar tahfiz menghabiskan masa tiga hingga lima tahun untuk menghafal al-Quran, namun apabila mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mempunyai kelayakan akademik setarafnya mereka dapat melanjutkan pengajian dalam apa saja bidang diminati seperti pelajar sekolah harian.

Bagi Muhammad Iqbal Solahhudin, 18, yang memasuki Maahad Tahfiz al-Quran al-Imam an-Nawawi (MATIN), Kangar sejak 2011, suasana menyejukkan mata memandang di maahad tahfiz itu dan guru muda berpengalaman antara pendorong dia memilih mendalami pengajian al-Quran di situ.

Katanya, pengalaman belajar di Sekolah Rendah Islam (SRI) dan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan menjadi nilai tambah untuknya menghafal al-Quran 30 juzuk.

“Apabila berada di maahad tahfiz ini, banyak disiplin yang berbeza dengan sekolah perlu diikuti.

“Benda paling penting yang perlu dijaga ialah akhlak dan keperibadian pelajar dengan al-Quran serta masyarakat,” katanya yang berasal Arau, Perlis.

Menurutnya, al-Quran adalah kunci segala ilmu, jadi hafalan dan pemahaman yang kukuh akan memudahkan proses pengajian ilmu lain selepas itu.

Katanya, menghafal al-Quran bukan hanya dapat menenangkan hati, malah mendidik rohani dan jasmani menjadi lebih segar serta tidak mudah putus asa menghadapi cabaran.

“Sistem pengajian di MATIN unik kerana ia bukan berteraskan kepada hafalan al-Quran semata-mata, tetapi juga menekankan aspek pendidikan kepada pelajar.

“Ia medan terbaik untuk kita memberikan khidmat kepada masyarakat menerusi pelbagai aktiviti diadakan selain melatih diri untuk tampil berinteraksi di khalayak ramai,” katanya.

Katanya, pelajar juga mengikuti aktiviti bersama masyarakat seperti menyertai gotong-royong, tahlil, solat hajat dan aktiviti riadah.

Mula hafal dua muka surat al-Quran

Pada peringkat permulaan, setiap pelajar menghafal sekurang-kurangnya dua muka surat al-Quran sebelum bertambah mengikut tahap hafalan masing-masing.

Ada banyak teknik menghafal al-Quran namun tidak semua sesuai diikuti pelajar dan mereka perlu ‘mencipta nilai tambah’ supaya mudah mengingat.

Bagi Muhammad Iqbal Solahhudin, 18, yang sudah enam tahun menuntut di MATIN, dia akan menghafal 10 muka surat al-Quran sebelum Subuh dan selepas Asar secara bersendirian.

Katanya, suasana pada waktu itu lebih tenang dan memudahkan hafalan secara berseorangan selain hafalan bersama ustaz di kelas.

“Pelajar di sini juga mengamalkan makanan sunnah yang membantu menguatkan ingatan seperti kismis, kurma dan madu.

“Amalan pemakanan sihat membantu otak berfikir cerdas serta mudah menghafal,” katanya.

Menurutnya, antara perkara dibimbangi pelajar tahfiz ialah lupa ayat terdahulu ketika sedang menghafal ayat baru.

“Jadi untuk mengelak perkara ini berlaku, pelajar akan sentiasa mengulang ayat baru bersama ayat lama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2017 @ 6:13 AM
Muhammad Iqbal
Muhammad Iqbal
PELAJAR melakukan aktiviti riadah.
PELAJAR melakukan aktiviti riadah.