MOHD Sukeri  (tengah) menyampaikan sijil dan wang tunai kepada Muhamad Zulshuhaifi.
MOHD Sukeri (tengah) menyampaikan sijil dan wang tunai kepada Muhamad Zulshuhaifi.
Oleh Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: “Saya mahu menjadi pendakwah dan mengembara bagi menarik orang bukan Islam lebih mendekati agama ini,” kata Muhamad Zulshuhaifi Ismail, penerima Anugerah Hafiz Terbaik pada majlis khatam al-Quran pelajar semester enam Maahad Tahfiz Al-Quran, di sini, semalam.

Muhamad Zulshuhaifi, 21, berkata, anugerah yang diterima itu akan menjadi pembakar semangat untuk menjadi orang berguna, sekali gus menabur bakti kepada masyarakat.

“Disebabkan terlalu ingin mendalami bidang hafazan dan ilmu al-Quran, selepas menamatkan persekolahan tingkatan lima di Sekolah Menengah Agama (SMA) Azahariah, Melor, saya menyambung pengajian di Maahad Tahfiz ini selama tiga tahun dalam jurusan Diploma Qira’at.

“Insya-Allah dengan ilmu yang saya peroleh ini, saya akan manfaatkan sebaik mungkin untuk berbakti kepada masyarakat,” katanya pada majlis khatam al-Quran pelajar semester enam Maahad Tahfiz Al-Quran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sesi kemasukan 2013/2016, di sini, semalam.

Majlis dirasmikan Timbalan Yang Dipertua MAIK Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi.

Turut hadir, Pengetua maahad itu, Mohd Sukeri Mohd Noor.

Anugerah berkenaan melayakkan Muhamad Zulshuhaifi menerima wang tunai RM1,000 dan sijil penghargaan daripada MAIK.

Ditanya resepi kejayaannya, Muhamad Zulshuhaifi berkata, dia sentiasa meluangkan masa mengulangi hafalan surahnya sehingga mantap.

“Kebiasaannya saya akan mengulangi surah yang dibaca sebanyak tiga kali untuk memantapkan lagi tahap bacaan dan hafalan.

“Masa yang diperlukan untuk menghafal satu juzuk adalah lebih kurang dua minggu bergantung kepada panjang surah yang dihafal,” katanya.

Sementara itu, Mohd Sukeri berkata, sehingga kini terdapat 200 pelajar dari maahad itu sudah khatam al-Quran.

“Pengambilan pelajar Maahad Tahfiz setahun sekali dengan seramai 90 pelajar saja bergantung pada kekosongan dan mengambil kira kemudahan tempat pengajian.

“Saya amat berharap di masa akan datang, maahad ini dapat melahirkan lebih ramai generasi yang khatam al-Quran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2016 @ 7:05 AM