ZURAIDA (tengah) bersama penerima skim FundMyHome. Turut hadir, Pengerusi Edge Property, Datuk Tong Kooi Ong. FOTO Asyraf Hamzah
ZURAIDA (tengah) bersama penerima skim FundMyHome. Turut hadir, Pengerusi Edge Property, Datuk Tong Kooi Ong. FOTO Asyraf Hamzah
BERNAMA

LUAHAN seorang suri rumah yang menerjah sidang media pelancaran Skim FundMyHome-DepositKu di Semenyih, hari ini mendapat perhatian Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Hafiza Abdul Rahman, 34, ketika meluahkan kesedihannya berkata, dia sudah 15 kali memohon mendapatkan pinjaman perumahan sejak 10 tahun lalu, namun tidak pernah lulus.

Selepas sidang media, ibu kepada empat orang anak itu dilihat sekali lagi bertemu dan meluahkan kesedihannya kepada Zuraida serta beberapa kali memeluk menteri itu sambil mengalirkan air mata.

“Antara alasan yang diberikan pihak bank adalah kami tidak pernah membuat sebarang pinjaman. Kami hanya ingin membeli rumah yang berharga bawah RM100,000, malah kami juga boleh membayar deposit hingga RM20,000.

“Apa salah saya dan suami. Kami hanyalah rakyat biasa yang ingin mempunyai rumah sendiri. Tetapi selama ini kami hanya mampu menyewa,” katanya ketika ditemui pemberita.

Sehubungan itu Hafiza merasakan hak mereka sekeluarga yang juga golongan B40 dengan pendapatan suaminya RM3,000 sebulan dinafikan.

Dia turut menyatakan penghargaannya kepada kerajaan yang memperkenalkan FundMyHome dan skim FundMyHome-DepositKu dan akan memohon skim itu dalam masa terdekat.

Terdahulu Zuraida berkata, skim FundMyHome-DepositKu adalah penyelesaian kepada pembeli yang sudah mendaftar di bawah skim FundMyHome tetapi tidak mampu menyediakan bayaran 20 peratus daripada harga rumah.

“Di bawah skim FundMyHome, pembeli yang berpendapatan rendah dan tidak layak mendapat pinjaman perumahan tradisional daripada bank, hanya perlu membayar 20 peratus dari harga rumah dan tidak perlu membayar apa-apa selama lima tahun.

“Skim FundMyHome-DepositKu pula membolehkan pembeli mendapatkan pinjaman sehingga RM30,000 untuk membayar bayaran 20 peratus itu.

“Pinjaman berkenaan akan dibayar balik sepenuhnya pada akhir tahun kelima menduduki rumah,” katanya.

Katanya, sepanjang tempoh lima tahun tanpa bayaran semula itu, pembeli dapat menabung sekali gus mengukuhkan kewangan mereka.

Pada majlis itu, Zuraida turut menyerahkan replika kunci kepada 19 pembeli rumah di bawah skim FundMyHome di Semenyih.

Lebih 350 unit rumah di Pangsapuri Harmoni di sini dibina menerusi skim FundMyHome.

Skim FundMyHome dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad November tahun lalu bagi membantu pembeli rumah kali pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 9:21 PM