Sofyan Rizal Ishak

Petaling Jaya: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) menegaskan pinjaman wang yang akan diberikan pemaju hartanah kepada pembeli hanya berfungsi sebagai penghubung atau ‘bridger’ kepada bayaran deposit pembelian rumah mereka dan bukan sebagai pinjaman penuh.

Presidennya Datuk Seri FD Iskandar FD Mansor berkata, skim kredit pinjaman itu dijangka membantu pembeli untuk menyelesaikan sekurang-kurangnya separuh daripada bayaran deposit pembelian rumah kerana purata margin pinjaman ditawarkan bank adalah sekitar 75 hingga 80 peratus.

Menurutnya, skim pinjaman itu bertujuan membantu pembeli terutama dalam kalangan pembeli rumah untuk melakukan pembayaran deposit kerana kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai keupayaan membayar baki deposit antara 15 hingga 25 peratus.

“Kami hanya menawarkan skim kredit pinjaman bagi deposit dan bukan pinjaman penuh kerana semua pemaju tidak memiliki keupayaan untuk memberi pinjaman penuh meskipun mereka terdiri daripada syarikat terkemuka,” katanya pada taklimat Tinjauan Industri Hartanah Separuh Pertama REHDA 2016 di sini, semalam.

Pada minggu lalu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Seri Noh Omar berkata pemaju perumahan boleh mendapatkan lesen pinjaman wang bertujuan untuk menawarkan pinjaman kepada pembeli rumah dengan kadar faedah antara 12 peratus dengan kolateral hingga 18 peratus (tanpa kolateral).

Beliau berkata, cadangan untuk mendapatkan lesen pinjaman wang itu bukanlah perkara baru di mana masih ramai individu tidak mengetahui pinjaman wang bagi tujuan membeli rumah adalah dibenarkan di bawah Akta Pinjaman Wang 1951 (Pindaan 2011).

Menurutnya, REHDA mencadangkan skim pinjaman kredit itu ditawarkan dengan peningkatan faedah dua peratus bagi jumlah keseluruhan kos pembangunan meskipun pemaju hartanah dibenarkan untuk mengenakan kadar faedah antara 12 hingga 18 peratus.

“Kami memiliki dana kos dan kami akan melihat sebarang langkah munasabah termasuk kadar faedah dua peratus itu kerana memandangkan pihak kami turut memiliki kos dan risiko.

“Kadar faedah ini mungkin boleh menurun separuh daripada kadar dibenarkan kerajaan dan kami perlu meneliti perkara ini serta melihat bekalan dan permintaan terlebih dahulu bagi memastikan ia benar-benar membantu pembeli rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2016 @ 7:26 AM