Anbalagan menunjukkan gambar suspek dikehendaki polis. FOTO Mikail Ong
Anbalagan menunjukkan gambar suspek dikehendaki polis. FOTO Mikail Ong
Shamsul Munir Safini


TIGA lelaki parah dilibas dengan parang termasuk putus ibu jari kanan dan patah tangan kiri dalam kejadian amuk di pekan Sungai Pinang, Balik Pulau 2.30 pagi, 8 Februari lalu.

Dalam kejadian berpunca daripada masalah keluarga itu, lelaki berusia 37 tahun bertindak menyerang ketiga-tiga mangsa menggunakan parang di hadapan sebuah kedai runcit di situ.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, dalam kejadian itu suspek datang ke rumah bapa saudaranya berusia 57 tahun kerana mendakwa mangsa memarahi ibunya.

Katanya, ibu suspek yang juga kakak mangsa dikatakan dimarahi lelaki berusia 57 tahun itu.

“Suspek pada mulanya datang ke rumah mangsa dan cuba menimbulkan provokasi dengan membakar mercun di hadapan rumah itu.

“Selepas bertekak dengan mangsa yang keluar dari rumah sejurus selepas itu, suspek yang bersenjatakan parang kemudian melibas mangsa menyebabkannya putus ibu jari kanan dan cedera lengan,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, anak tiri mangsa berusia 18 tahun cuba mententeramkan keadaan namun diserang suspek menggunakan parang sehingga patah tangan kiri.

Katanya, suspek terus mengamuk sebelum mencederakan seorang lagi rakan mangsa berusia 50 tahun sehingga mangsa ketiga itu putus urat jari.

“Selepas beberapa minit, suspek melarikan diri kerana orang ramai mula memenuhi kawasan itu.

“Polis kini memburu suspek dikenali Lim Yi Hang.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi polis di talian 04-866 2222 atau 019-3545197,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 6:38 PM