Noor Atiqah Sulaiman


Cyberjaya: Dendam kerana ditegur menendang kenderaan sendiri menyebabkan seorang lelaki bertindak melibas parang ke arah dua lelaki hingga menyebabkan telinga seorang mangsa hampir putus.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata, dalam kejadian jam 7.40 pagi semalam, mangsa pertama berusia 24 tahun dikatakan melihat suspek berada berhampiran kenderaan dalam keadaan marah.

"Mangsa ketika itu mahu pergi bekerja sebelum melihat suspek menendang tayar kereta dalam keadaan marah. Mangsa kemudian menegur tindakan dilakukan suspek terbabit.

"Berlaku pertengkaran antara mereka sebelum suspek beredar pergi.

"Namun sekitar jam 12 tengah hari (semalam), suspek didakwa muncul menunggang motosikal sebelum menghampiri mangsa dan saudaranya berusia 41 tahun yang sedang berehat di tempat letak motosikal di bawah blok rumah didiami.

"Suspek secara tiba-tiba mengeluarkan parang dan terus melibas ke arah kedua-dua mangsa sebelum melarikan diri," katanya tadi.

Berikutan itu, mangsa pertama mengalami patah tulang tangan kanan manakala mangsa kedua pula mendapat kecederaan di telinga kiri iaitu hampir putus.

"Mangsa kini dirawat di Hospital Putrajaya. Susulan itu polis berjaya menahan suspek berusia 28 tahun yang berada di pusat beli belah berdekatan Kota Warisan.

"Hasil siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau. Bagaimanapun parang digunakan suspek masih belum ditemui. Suspek disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 4:30 PM