ABDUL Madi (kanan) memeriksa sebahagian daripada beg yang dirampas kerana menggunakan jenama tiruan. FOTO Amir irsyad Omar
ABDUL Madi (kanan) memeriksa sebahagian daripada beg yang dirampas kerana menggunakan jenama tiruan. FOTO Amir irsyad Omar
Shamsul Munir Safini


Prai: Premis pemborong beg pelbagai jenama tiruan diserbu sepasukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di sini, hari ini.

Dalam serbuan 9 pagi itu, pihak KPDNKK Seberang Perai Tengah (SPT) merampas 2,442 beg palsu pelbagai jenama bernilai RM12,210 yang kesemuanya menggunakan label serta logo tiruan.

Ketua Cawangan KPDNKK SPT, Abdul Madi Wahab berkata, pihaknya yang melakukan risikan selama seminggu mengesan aktiviti penjualan beg tiruan di premis berkenaan sebelum menyerbunya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dilakukan premis berkenaan menjual beg serta aksesori pakaian tiruan menggunakan jenama Adidas, Nike, Puma, Samsung, Levis, dan Converse.

"Ketika diserbu, tiga individu berada di premis termasuk pemilik kedai yang juga seorang wanita yang sarat mengandung.

"Kesemua mereka diambil keterangan manakala pihak kami percaya beg tiruan berkenaan diambil di merata kawasan sekitar termasuk di Bukit Mertajam dekat sini," katanya.

Abdul Madi berkata, pihaknya juga akan menyiasat lokasi gudang yang menyimpan dan mengedarkan barangan tiruan ini kepada pemborong berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2016 @ 3:34 PM