SAHARUDDIN (dua dari kiri) menunjukkan pelbagai barangan tiruan yang dirampas dalam Ops Jeriji Cap Dagang di Chendering, Kuala Terengganu, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR
SAHARUDDIN (dua dari kiri) menunjukkan pelbagai barangan tiruan yang dirampas dalam Ops Jeriji Cap Dagang di Chendering, Kuala Terengganu, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR
Baharom Bakar


ENAM termasuk empat wanita ditahan selepas disyaki menjual pelbagai barangan tiruan dalam tiga serbuan serentak Operasi Barang Tiruan di Kuala Terengganu dan Marang, semalam.

Dua lelaki berusia 30-an dan empat wanita berusia 20-an itu bermalam dalam lokap selama tiga hari dua malam untuk disoal siasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Saharuddin Mohd Kia berkata, dua lelaki dan empat wanita itu ditahan di tiga premis berasingan iaitu dua di daerah Kuala Terengganu dan satu di Marang, pada 12.30 tengah hari semalam.

Beliau berkata, dalam operasi turut disertai dua wakil syarikat pengeluar utama barangan termasuk kasut, tali pinggang, baju, dompet, stokin dan beg tangan wanita, sebanyak 4,993 pelbagai barangan dianggarkan bernilai RM90,620 dirampas.

"Hasil risikan selama satu bulan, dua premis didapati menjalankan perniagaan menjual pelbagai barangan tiruan melalui dalam talian dan satu lagi menjalankan perniagaan dalam premis.

"Antara barangan dirampas adalah 821 pasang kasut, 3,120 stokin, 46 tali pinggang, enam dompet, enam baju, lima pasang selipar dan satu unit beg tangan wanita berjenama," katanya pada sidang media di Chendering, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, dalam sidang media itu adalah Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Nor Azmi Lamisza.

Saharuddin berkata, nilai rampasan barangan tiruan pada operasi itu adalah yang terbesar tahun ini.

Menurutnya, enam yang ditahan itu direman selama tiga hari mulai semalam untuk siasatan lanjut.

"Lelaki dan wanita itu ditahan mengikut Akta Cap Dagangan 2019 dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 bagi setiap barangan atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Secara keseluruhan, 371 kes membabitkan nilai rampasan pelbagai barangan tiruan RM209,703 dilakukan KPDNHEP bermula 1 Januari lalu sehingga semalam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 8:24 PM