KAMARUDDIN (dua kanan) menunjukkan kasut dan selipar yang dirampas. FOTO ihsan KPDNHEP
KAMARUDDIN (dua kanan) menunjukkan kasut dan selipar yang dirampas. FOTO ihsan KPDNHEP
Mohd Azam Shah Yaacob


DUA wanita ditahan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kerana menjual barang tiruan di kompleks membeli-belah di PJS11, Petaling Jaya, semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah Petaling Jaya Kamaruddin Mohammad Yassin berkata,

mereka yang ditahan membabitkan seorang wanita tempatan serta Indonesia berusia 32 dan 54 tahun.

Katanya, Op Barang Tiruan jam 12.45 tengah hari itu membabitkan enam pegawai KPDNHEP Petaling Jaya dan disertai dua wakil cap dagang pemilik di negara ini.

Katanya, KPDNHEP merampas kasut serta selipar pelbagai jenama seperti Puma, Nike, Louis Vuitton yang masih belum dianggarkan nilai serta jumlahnya.

“Serbuan dijalankan semalam berdasarkan maklumat diterima KPDNHEP Petaling Jaya mengenai kegiatan penjualan kasut tiruan di kompleks beli-belah itu.

“Sebaik diperiksa, kami menemui sejumlah kasut tiruan yang menggunakan logo serta jenama produk terkenal bertaraf antarabangsa.

“Menerusi penemuan itu, KPDNHEP Petaling Jaya kemudian menahan dua wanita iaitu seorang warga Indonesia serta majikannya warga tempatan yang dikenal pasti pemilik premis berkenaan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Kamaruddin berkata, hasil siasatan mendapati kasut serta selipar yang dijual diperoleh dari luar negara seperti China, Thailand dan Vietnam dengan harga tidak sampai RM30 sepasang.

Beliau berkata, barangan itu yang mempunyai kualiti rendah kemudian dijual pada harga antara RM19 hingga mencecah lebih RM200 sepasang sama seperti harga barangan tulen.

“Wanita terbabit ditahan mengikut Seksyen 39(1) Akta Perihal Dagangan 2011 dan Seksyen 8(2)b Akta sama kerana menjual barangan tiruan.

“Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda tidak lebih RM10,000 bagi setiap barangan tiruan dimiliki atau penjara tidak lebih tiga tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 3:53 PM