Pengarah JBPM Selangor Norazam Khamis. Foto Arkib NSTP
Pengarah JBPM Selangor Norazam Khamis. Foto Arkib NSTP
Syah Rul Aswari Abdullah dan Sarah Zulkifli dan Suraya Roslan


JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor bersedia memberi kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kematian anggotanya, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pengarah JBPM Selangor Norazam Khamis berkata, segala arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa berhubung insiden itu akan dipatuhi pihaknya.

Menurut Norazam, pihaknya berpuas hati dan berasa adil dengan keputusan inkues kematian Muhammad Adib seperti yang dibuat Mahkamah Koroner di Shah Alam hari ini.

“Ini (keputusan inkues) seperti pembelaan kepada anggota bomba dan keputusan itu sememangnya ditunggu-tunggu oleh semua pihak.

“Sekiranya dipanggil, kita sudah bersedia bekerjasama untuk memberi keterangan,” katanya ketika dihubungi di Shah Alam hari ini.

Terdahulu, Norazam tiba di Mahkamah Koroner kira-kira 9 pagi dengan diiringi beberapa pegawai bomba sebagai tanda sokongan kepada keluarga Muhammad Adib.

Hadir sama Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor Hafisham Mohd Noor dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman yang juga saksi inkues ke-18.

Hari ini, Koroner Rofiah Mohamad membacakan keputusan inkues kematian Muhmaad Adib disebabkan perbuatan jenayah dua atau lebih orang tidak dikenali.

Prosiding inkues yang dikendalikan Pengendali Faten Hadni Khairuddin itu bermula pada 11 Februari lalu dengan seramai 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dipanggil memberi keterangan selain 137 eksibit dikemukakan.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember tahun lalu di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 5:48 PM