Zatul Iffah Zolkiply


SEORANG tukang rumah dijatuhi hukuman penjara 20 tahun di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, hari ini atas tuduhan mendera anak tirinya berusia lima tahun sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak terbabit pada Jun 2017.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas tertuduh, Rosmanan Abdul Rahman, 41, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan menyebabkan kematian Muhammad Hairil Amsyar Abdul Rahman di Felda Tenang, Jerteh, Besut antara 25 hingga 28 Jun 2017.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fadhli Mahmud dan Rohaiza Abd Rahman manakala tertuduh diwakili peguam daripada Tetuan Aziz & Co.

Dalam kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dibawa tertuduh untuk mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Daerah Besut dengan tertuduh memberi alasan mangsa terjatuh dari motosikal.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan awal mendapati punca kematian mangsa tidak konsisten dengan keterangan suspek.

Kematian mangsa disahkan berpunca daripada hentakan kuat yang menyebabkan koyakan pada usus kecil.

Selain itu, mangsa turut mengalami beberapa kesan lebam lama dan baru di badan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 5:57 PM
ROSMANAN dijatuhi hukuman penjara 20 tahun di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, hari ini atas tuduhan mendera anak tirinya berusia lima tahun sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak terbabit pada Jun 2017. FOTO Ghazali Kori.
ROSMANAN dijatuhi hukuman penjara 20 tahun di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, hari ini atas tuduhan mendera anak tirinya berusia lima tahun sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak terbabit pada Jun 2017. FOTO Ghazali Kori.