TERTUDUH (tengah) diiringi anggota polis di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
TERTUDUH (tengah) diiringi anggota polis di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


PEKERJA ladang kelapa sawit dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 20 sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini atas pertuduhan merogol anak tirinya yang masih bersekolah sehingga hamil.

Hakim Rofiah Mohamad membuat keputusan itu selepas tertuduh, 51, mengaku salah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa ketika kejadian berusia 16 tahun di ruang tamu sebuah rumah di Besut pada 3 pagi 25 Oktober 2017.

Lelaki itu turut didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa di lokasi sama pada 9 pagi, 22 Mac 2015.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan dengan hukuman penjara berjalan serentak.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Perbuatan keji dilakukan tertuduh itu terbongkar selepas seorang guru menyedari perubahan fizikal mangsa pada 21 Januari lalu.

Berdasarkan pemeriksaan dilakukan, mangsa disahkan hamil lapan bulan sebelum laporan polis dibuat pada 21 Januari lalu yang membawa kepada penahanan tertuduh.

Hasil siasatan mendapati mangsa memaklumkan pertama kali dirogol tertuduh ketika berusia 14 tahun, dan tertuduh berkahwin dengan ibu mangsa sejak Oktober 2009.

Mangsa yang juga pelajar Tingkatan Lima melahirkan bayi perempuan pada Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mei 2018 @ 4:49 PM