Norrasyidah Arshad


SINDIKET nikah ekspres berkemungkinan mendapat bantuan ‘orang dalam’ bagi memudahkan urusan pernikahan dijalankan.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang berkata, ia berikutan bekas pegawai agama dikesan bekerjasama dengan agensi yang menguruskan perkhidmatan nikah ekspres.

“Kemungkinan itu ada (orang dalam terbabit dalam nikah ekspres).

“Dalam tawaran iklan (sindiket nikah) yang dikeluarkan, ejen tulis mereka ditolong peguam syarie, ada panel dan pertolongan dari hakim syarie.

“Ini juga mungkin disebabkan ejen ‘main petik’ untuk lakukan dan yakinkan pelanggan,” katanya ketika menjadi panel di Wacana Sinar Nikah Ekspres: Bukan Hanya Kejar Nafsu, di Shah Alam, hari ini.

Moderator program itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Arba Foundation, Azlan Shah Nabess Khan.

Dua panel lain yang turut menyertai program berkenaan ialah Pengarah Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Aziah Mohd Awal dan Pensyarah Pusat Fiqh Kontemporari dan Pematuhan Syariah UKM, Prof Madya Dr Zuliza Mohd Kusrin.

Sementara itu, Aziah berkata, nikah ekspres berlaku apabila pasangan yang ingin berkahwin tidak mahu melalui proses undang-undang yang ditetapkan.

MUSA (dua kanan) bersama Aziah (dua kiri) dan Zuliza (kanan) ketika menjadi panel program wacana di Shah Alam, hari ini. Foto INTAN NUR ELLIANA ZAKARIA
MUSA (dua kanan) bersama Aziah (dua kiri) dan Zuliza (kanan) ketika menjadi panel program wacana di Shah Alam, hari ini. Foto INTAN NUR ELLIANA ZAKARIA

Katanya, ia hanya dilakukan di tempat tertentu terutama di luar negara berikutan proses pernikahan berkenaan tidak memerlukan dokumen yang banyak.

“Setiap negeri ada proses (nikah) sendiri dan nikah ekspres tidak perlu melalui segala proses ini.

“Hanya datang sehari semalam. Begitu juga dengan poligami. Tidak perlu kebenaran mahkamah, perbicaraan dan sebagainya,” katanya.

Mengulas lanjut, Aziah berkata, proses permohonan untuk berkahwin di negara ini yang mengambil masa lama turut menjadi punca berlaku pernikahan ekspres.

Katanya, perkahwinan di Malaysia perlu mengisi borang dan menghantar segala dokumen ke pejabat agama sebelum pihak berkenaan melakukan siasatan terhadap wali dan sebagainya.

“Jika hendak berpoligami pula, perlu dapatkan kebenaran mahkamah syariah dan proses itu mengambil masa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 7:10 PM