MEREKA yang terbabit dengan program sambutan Jubli Perak Kelab Teater Rimba.
MEREKA yang terbabit dengan program sambutan Jubli Perak Kelab Teater Rimba.
Ridzuan Abdul Rahman

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi tumpuan ramai aktivis seni budaya dan sastera tanah air bagi meraikan sambutan Jubli Perak Kelab Teater Rimba yang bernaung di bawah Kelab Artisukma, Pusat Kebudayaan, UKM pada 1 dan 2 Mac lalu.

Dua acara utama turut diadakan iaitu majlis wacana seni dengan topik Melestarikan Teater Sebagai Seni Budaya Negara yang berlangsung di Bilik Senat Canselori, UKM.

Keesokannya pula turut diadakan majlis makan malam bertemakan Legasi Seorang Seniman yang berlangsung di lokasi sama.

Yang Dipertua Kelab Teater Rimba Nadia Balqis Ridzuan berkata, objektif utama majlis itu adalah menghimpunkan semula semua alumni kelab dan bertukar pendapat serta pengalaman dengan ahli kelab sedia ada.

“Program wacana seni diadakan bertujuan membincangkan mengenai sejauh manakah hala tuju industri teater tanah air dalam arus pemodenan ini.

“Ia sudah lama dirancang dan bersempena 25 tahun Kelab Teater Rimba, kami cuba melakukan sesuatu yang berbeza daripada apa pernah dibuat UKM sebelum ini dengan menjemput wakil dari Indonesia, Singapura dan Brunei sebagai ahli panel.

“Pelbagai topik dibincangkan bersama panel jemputan yang berwibawa dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang teater. Ia bertujuan memberi penuntut ilmu pengetahuan yang mungkin tak boleh didapati dalam kuliah,” katanya.

AHLI panel sesi wacana.
AHLI panel sesi wacana.

Barisan panel yang hadir pada wacana ini ialah Dekan Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia Prof Emeritus Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh, Prof Madya Dr Andika Aziz, Marzuki Ali, wakil Singapura Salleh Buang; wakil Indonesia Drs Aam Nurjaman M Pd dari Universitas Pakuan, Bogor dan wakil Brunei Dr Zefri Ariff dari Universiti Brunei Darussalam.

Turut hadir budayawan, seniman dan aktivis teater tempatan antaranya penyair serta pelukis Prof Dr Siti Zainon Ismail, pelukis Datuk Dr Ibrahim Ghaffar, pelukis Along, pelakon Ibrahim Akhir, penyanyi Roslan Madun, Alumni Teater Rimba Anwar Zulkefli, Persatuan Teater Malaysia, pegawai Pusat Kebudayaan UKM dan pelajar daripada pelbagai fakulti.

Nadia berkata, wacana ini membuktikan dunia pementasan teater mampu menjadi tunjang kepada seni budaya negara.

“Namun, beberapa nilai tambah perlu disuntik bagi menaik dan mengembangkan lagi industri seni teater yang kecil ini antaranya sumbangan dana bagi menjayakan projek pada masa akan datang dan liputan media bagi mempromosikan gerak kerja projek teater,” katanya.

Sementara itu, majlis makan malam yang diadakan pada 2 Mac lalu berlangsung meriah dengan kehadiran semua ahli panel wacana dan turut diserikan dengan kehadiran pengasas Kelab Teater Rimba Mohamad Diani Kasian.

Sempena Sambutan Jubli Perak itu juga, Kelab Teater Rimba akan mengadakan persembahan teater Seniman Jalanan bermula hari ini sehingga Ahad di auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Jalan Tun H S Lee, Kuala Lumpur.

Tiket untuk menonton berharga RM10 boleh didapati di kaunter jualan pada hari persembahan.

 NADIA (kanan) bersama  Mohamad Diani (dua dari kanan).
NADIA (kanan) bersama Mohamad Diani (dua dari kanan).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 12:41 AM