BURUNG liar dilindungi diletakkan di dalam lima bakul bertutup sebelum disembunyikan di ruang menyimpan barangan penumpang. FOTO arkib NSTP
BURUNG liar dilindungi diletakkan di dalam lima bakul bertutup sebelum disembunyikan di ruang menyimpan barangan penumpang. FOTO arkib NSTP
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


UNTUNG ribuan ringgit menyebabkan ada pemandu bas ekspres melakukan ‘kerja sambilan’ menyeludup burung liar dilindungi ke negara jiran.

Difahamkan keunikan bunyi burung murai batu dan tiong mas dari Malaysia menyebabkan spesies burung itu mendapat permintaan tinggi dan dijual sehingga RM500 seekor.

Aktiviti menyeludup burung liar dilindungi ke negara jiran menggunakan bas ekspres semakin menjadi-jadi susulan penahanan sebuah lagi bas ekspres jam 6.20 petang kelmarin.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, taktik itu terbongkar selepas sepasukan pegawai Perhilitan, Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Menurutnya, pihak berkuasa menahan dua lelaki tempatan yang memandu bas ekspres.

BAS ekspres yang ditahan pihak berkuasa di Bukit Kayu Hitam digunakan  menyeludup burung murai batu dan tiong mas. FOTO arkib NSTP
BAS ekspres yang ditahan pihak berkuasa di Bukit Kayu Hitam digunakan menyeludup burung murai batu dan tiong mas. FOTO arkib NSTP

“Pemeriksaan dilakukan terhadap bas berkenaan kami menemui 14 burung murai batu, lima burung murai batu kubur dan 14 burung tiong mas.

“Semua burung dilindungi itu diletakkan di dalam lima bakul bertutup sebelum disembunyikan di ruang menyimpan barangan penumpang di dalam bas,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek berusia 28 dan 41 tahun itu dipercayai cuba menyeludup burung liar itu ke negara jiran.

“Susulan penemuan itu, pihak berkuasa menyita bas berkenaan selain merampas semua burung itu untuk tindakan lanjut.

“Semua barang kes dibawa ke Pejabat Perhilitan Kedah untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) memperuntukkan hukuman denda maksimum hingga RM500,000 dan penjara lima tahun,” katanya.

Harian Metro bulan lalu mendedahkan kejayaan Perhilitan mematahkan cubaan menyeludup dua ekor burung hantu menaiki bas ekspres di Stesen Timbang Jabatan Pengangkutan Jalan Laloh, Kuala Krai Kelantan.

Dua lelaki tempatan ditahan susulan penemuan burung Hantu itu yang disembunyikan di dalam kotak.

BURUNG murai batu. FOTO arkib NSTP
BURUNG murai batu. FOTO arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 5:45 AM