LAPORAN portal Harian Metro 11 Januari lalu.
LAPORAN portal Harian Metro 11 Januari lalu.
Izlaily Nurul Ain Hussein


DEWAN Muda Johor (DMJ) berpendapat Menteri Besar (MB) Johor, Datuk Osman Sapian perlu memberi penjelasan dan mengemukakan bukti berhubung isu dakwaan beliau dan rombongan menceroboh masuk ke perairan Singapura, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan, Undang-Undang, Integriti dan Antarabangsa DMJ, Onn Mahathir Md Nasir berkata, isu terbabit perlu segera diselesaikan dengan Osman sendiri memberikan penjelasan, sekiranya beliau di pihak yang benar.

“Jika beliau (Osman) berasakan beliau difitnah dan dianiaya oleh Kerajaan Singapura, beliau perlu mengemukakan segera bukti laporan latitud dan

longitud yang menunjukkan beliau tidak melepasi sempadan perairan Singapura.

“Tetapi, jika benar dakwaan Wisma Putra tidak memberi restu terhadap tindakan beliau mengadakan lawatan ketika itu, ia perlu segera dijelaskan secara diplomatik supaya hubungan kedua-dua negara tidak terjejas.

“Dan, jika benar beliau berjiwa besar serta mengakui kesilapan, adalah lebih elok beliau mengemukakan permohonan maaf demi keharmonian rakyat dan kestabilan khususnya negeri Johor,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Onn Mahathir berkata, selain tindakan Singapura yang menangguhkan Mesyuarat ke-14 Jawatankuasa Bersama Menteri bagi Iskandar Malaysia (JMCIM), dakwaan Menteri Besar Johor menceroboh perairan Singapura itu juga boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kira-kira 400,00 rakyat Malaysia yang berurusan atau mencari rezeki di Singapura setiap hari.

Beliau berkata, DMJ berpendapat Osman kini berdepan satu tamparan terhadap kepimpinannya apabila Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim meluahkan rasa kecewa apabila Putrajaya tidak mempertahankan pemimpinan tertinggi Johor itu.

“Pertikaian terhadap ruang udara dan maritim Singapura dan Malaysia seperti membuka satu lagi krisis baharu antara pentadbiran Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Johor.

“Ia susulan Hassan yang kecewa dengan tindakan membisu Putrajaya yang tidak mempertahankan Menteri Besar Johor.

“Jika benar apa yang sedang diperkatakan, ia adalah satu tamparan terhadap kepimpinan Menteri Besar Johor,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, rakyat Johor akan tetap memberi sokongan jika Osman berada di pihak yang benar, tetapi tidak akan sesekali mempertahankannya jika

memang benar ia datang dari kesilapan dan kecuaian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu sendiri.

“Tiada faedah untuk menjadi hero dengan memanjangkan polemik yang tidak memberi faedah.

“Sebaliknya, menumpukan usaha memajukan negeri, menjaga kebajikan rakyat, memberi fokus menunaikan manifesto dan menjaga kehormatan negeri adalah antara satu cara untuk dikenang sebagai hero rakyat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 10:56 AM