SALMAH menerima dokumen pencen ilat PERKESO Michael sambil diperhatikan Nallusamy (kiri sekali). FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
SALMAH menerima dokumen pencen ilat PERKESO Michael sambil diperhatikan Nallusamy (kiri sekali). FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


“TERIMA kasih kerana permudahkan urusan pencen ilat anak selepas seminggu dia meninggal dunia,” kata Salmah Abdullah, 47, ibu kepada lelaki orang kurang upaya (OKU) lembam yang maut akibat kemalangan jalan raya dekat Lukut, Rabu lalu.

Hari ini, Salmah yang juga ibu tunggal menerima pencen ilat ketika dikunjungi wakil Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Negeri Sembilan di rumahnya di Kampung Chuah di Port Dickson.

Salmah berkata, dia amat berterima kasih kerana Perkeso prihatin dengan menguruskan pencen ilat yang layak diterimanya setiap sebulan.

“Ini sedikit sebanyak membantu saya kerana tidak mampu bekerja akibat patah kaki dalam kemalangan jalan raya setahun lalu.

“Selain Najib, anak sulung, Muhammad Farid, 27, tidak bekerja tetap, manakala dua lagi anak, Muhammad Yasin, 25, dan Muhammad Yusof, 24, tidak bekerja kerana mereka juga lembam,” katanya.

Harian Metro, sebelum ini, melaporkan anak Salmah, Muhammad Najib Goh Abdullah meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, pada 6.30 petang Khamis lalu.

Ia selepas mangsa terbabit kemalangan selepas motosikal ditunggang terbabas, pada 11 pagi.

Hadir menyampaikan sumbangan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, Michael Yek Diew Ching.

Turut hadir, Pengarah Perkeso negeri, M Nallusamy.

Nallusamy berkata, pihaknya berusaha membantu keluarga Muhammad Najib selepas terbaca berita kematiannya melalui Harian Metro.

“Selepas mendapati arwah adalah pencarum dalam Perkeso yang melayakkan keluarganya menerima pencen ilat setiap bulan, kami berusaha memproses supaya bantuan dapat diberikan secepat mungkin bagi meringankan beban keluarganya.

“Pencen ilat akan dibayar bermula bulan depan. Sebelum ini, kami sudah menyerahkan sumbangan khairat kematian sebanyak RM2,000,” katanya.

Katanya, Perkeso berusaha membantu orang ramai terutama waris pencarum walaupun mereka tidak buat laporan berhubung musibah yang menimpa kerana pihaknya sentiasa mengikuti laporan akhbar atau media sosial.

Berita berkaitan

'Kematian Najib meragukan'

'Kami hilang tempat bergantung'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 3:42 PM