IBU tunggal, Salmah Abdullah, 47, ditenangkan rakan-rakannya ketika ditemui di Bahagian Forensik Hospital Tuanku Ja'afar Seremban. FOTO Mohd Khidir Zakaria
IBU tunggal, Salmah Abdullah, 47, ditenangkan rakan-rakannya ketika ditemui di Bahagian Forensik Hospital Tuanku Ja'afar Seremban. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


“WALAUPUN lembam, dia yang menyara keluarga dengan bekerja kilang. Tetapi kini kami hilang tempat bergantung,” kata ibu tunggal, Salmah Abdullah, 47, yang kehilangan anaknya, Muhammad Najib Goh Abdullah, 22, akibat kemalangan jalan raya di Kampung Jimah Lama, Lukut, semalam.

Anak bongsu daripada empat beradik itu meninggal dunia 6.30 petang semalam ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban selepas motosikal ditunggang terbabas pada 11 pagi.

Menurut Salmah yang juga mualaf, pada hari kejadian, Muhammad Najib keluar rumah pada 8 pagi untuk ke tempat kerjanya di kilang di D’Ambang Kota Lukut.

Katanya, kira-kira 12 tengah hari, dia menerima paNggilan telefon daripada majikan Muhammad Najib memberitahu anaknya itu parah selepas terjatuh daripada motosikal ditunggangnya.

“Muhammad Najib yang parah di kepala, leher dan patah tangan disahkan meninggal dunia 6.30 petang semalam. Dia seorang anak yang baik dan saya kini hilang tempat bergantung,” katanya ketika ditemui di bilik mayat HTJ, hari ini.

Katanya, semua empat anaknya berstatus orang kurang upaya (OKU) lembam dan hanya Muhammad Najib yang boleh diharapkan bekerja untuk menampung keperluan keluarga.

“Saya tidak boleh melakukan sebarang pekerjaan selepas kaki saya patah akibat kemalangan setahun lalu. Hanya arwah yang bekerja dan kini dia sudah tiada.

“Tak tahu macam mana kami nanti kerana tiga abangnya tidak mampu bekerja,” katanya.

Salmah berkata, anak sulung, Muhammad Farid Goh Abdullah, 27; Muhammad Yassin Goh, 25 dan Muhammad Yusof Goh, 24, tidak bekerja, hanya bergantung kepada elaun OKU yang diterima.

“Arwah seorang yang sangat bertanggungjawab. Sejak saya tidak dapat mencari rezeki selepas kemalangan, hanya dia yang bekerja untuk menyara keluarga,” katanya.

Salmah berkata, jenazah akan disembahyangkan di Masjid Chuah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kuala Lukut, Chuah petang ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, pihaknya menunggu laporan bedah siasat bagi melengkapkan siasatan yang sedang dijalankan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9), Norfadilah Mansor berkata, pihaknya akan membantu keluarga Salmah terutama bantuan barangan makanan.

Katanya, orang juga ramai boleh menyumbang terus ke akaun CIMB 7615476364 milik Salmah bagi meringankan beban keluarga terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 12:01 PM