MOKHTAR teruja melihat pokok tajam belat lebat berbuah besar ketika bertugas di Hutan Simpan Tekai Tembeling. FOTO Mohd Rafi Mamat
MOKHTAR teruja melihat pokok tajam belat lebat berbuah besar ketika bertugas di Hutan Simpan Tekai Tembeling. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

“SELEPAS lebih 21 tahun melakukan kerja hutan dengan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), ini kali pertama saya menemui pokok tajam belat buah besar yang begitu lebat berbuah.

“Pokok daripada keluarga rambai itu ditemui dalam Hutan Simpan Tekai Tembeling yang terkenal dengan pelbagai tumbuhan hutan termasuk balak berkualiti tinggi," kata pekerja am JPNP, Mokhtar Musa kepada NSTP di Jerantut, baru-baru ini.

Mokhtar berkata, kebiasaannya pokok semakin sukar ditemui itu mengeluarkan buah bersaiz guli batu namun kali ini dia menemui pokok yang mengeluarkan buah sebesar bola ping pong iaitu dua hingga tiga kali ganda lebih besar daripada biasa.

Katanya, struktur buah berwarna kekuningan hampir sama dengan buah pokok rambai iaitu berbuah dibatang secara bergayut pada tangkai panjang dengan jumlah yang banyak serta lebat.

"Sebelum ini saya banyak bertemu dengan pokok tajam belat atau ada juga memanggil rambai hutan berbuah kecil dan lebat hingga mencecah ke tanah.

"Buah tajam belat boleh dimakan begitu sahaja selain dibuat jeruk dan kulitnya yang tebal dijadikan sayur, rasanya masam manis... ada beberapa jenis haiwan liar juga memakannya sebagai makanan tambahan," katanya yang memiliki kemahiran mengenali pelbagai spesies pokok balak.

Katanya, pokok tajam belat hanya boleh ditemui di kawasan hutan berbukit tinggi dan boleh dikatakan hanya mereka yang bekerja dalam hutan sahaja boleh menemui pokok dianggap unik berkenaan.

"Tidak ramai masyarakat hari ini mengenali pokok tajam belat disebabkan beberapa faktor seperti pokok berkenaan hanya tumbuh dalam hutan yang sukar untuk sampai selain taburan pokok terlalu sedikit.

"Saya berharap ada pihak seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) mencuba menanam pokok tajam belat di kawasan taman bagi tatapan generasi muda yang mungkin tidak mengenali spesies unik berkenaan.

"Saya yakin pokok berkenaan akan menjadi tumpuan masyarakat dan pelancong terutama apabila ia mengeluarkan buah yang banyak bergantung pada batangnya," katanya.

Pic Mohd Rafi Mamat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Disember 2018 @ 10:32 AM