TIANG pagar kayu spesis balau yang dibelah secara haram dalam Hutan Simpan Chini Tambahan.FOTO Mohd Rafi Mamat
TIANG pagar kayu spesis balau yang dibelah secara haram dalam Hutan Simpan Chini Tambahan.FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Temerloh: Pejabat Hutan Daerah (PHD) Temerloh dan Bera menemui sembilan tual balak spesies balau bernilai lebih RM34,000 yang dibelah untuk dijadikan tiang pagar secara haram di Kompatmen 11 Hutan Simpan Chini Tambahan, di sini, kelmarin.

Pegawai PHD Temerloh dan Bera, Azmi Abdul Rahman berkata, hasil risikan pihaknya mendapati terdapat kegiatan menghasilkan kayu bergergaji untuk pasaran tempatan didalangi tiga hingga empat individu tempatan.

Beliau berkata, sindiket terbabit menebang beberapa pokok balau untuk dijadikan tiang pagar bagi memenuhi permintaan masyarakat setempat dengan harga tinggi.

Menurutnya, kumpulan terbabit dipercayai menjadi pembekal utama tiang pagar dihasilkan daripada beberapa spesies balak berkualiti tinggi seperti balau, kempas, merbau, keruing dan kelat.

"Hasil rondaan pada 1.30 tengah hari kelmarin, kakitangan Pejabat Renjer Hutan Bera menemui sembilan longgok tiang pagar sedia dipindahkan sindiket terbabit dalam Hutan Simpan Chini Tambahan dan mereka dipercayai menjalankan kegiatan itu antara tiga hingga lima hari lalu.

"Selepas menebang pokok, mereka membelahnya menggunakan mesin gergaji diubah suai bagi menghasilkan tiang pagar berkualiti dan dijual dengan harga mahal," katanya.

Beliau berkata, ketika serbuan pihaknya turut menemui kenderaan jenis Toyota Unser dipercayai digunakan untuk memindahkan kayu itu serta dua motosikal.

Menurutnya, tiang pagar serta kenderaan ditempatkan di pusat simpanan barangan rampasan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) di Pejabat Ladang Kemasul, Temerloh.

"Permintaan tinggi terhadap tiang pagar dan kayu bergergaji pelbagai saiz mendorong pihak tidak bertanggungjawab terus aktif menceroboh hutan simpan di daerah ini.

"Saya difahamkan tiang pagar dijual dengan harga antara RM15 hingga RM20 sebatang mengikut spesies balak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 8:05 PM