SITI Aisyah Mah menguruskan ibunya, Siti Asmara  yang menerima rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang, hari ini. Foto ADNAN IBRAHIM
SITI Aisyah Mah menguruskan ibunya, Siti Asmara yang menerima rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang, hari ini. Foto ADNAN IBRAHIM
Adnan Ibrahim


BERBEKALKAN modal hasil menjual air di pasar malam dua kali seminggu, lelaki ini menggunakan wang itu bagi menampung kos perubatan isterinya yang menghidap kanser, selain menyara enam anaknya.

Abdul Wahab Mah Abdullah, 49, berkata isterinya, Siti Asmara Kamal, 50, mula dikesan menghidap kanser payudara pada 2015 sebelum merebak ke otak pada September lalu, selain diserang sawan pada 2 Disember lalu.

Katanya, enam anaknya yang semuanya masih belajar termasuk dua menuntut di universiti awam (UA) turut memerlukan perbelanjaan persekolahan dan dia bergantung hasil menjual air dengan pendapatan kira-kira RM200 seminggu.

“Selain kos perubatan isteri serta persekolahan anak, saya perlu menyediakan lampin pakai buang, tisu basah dan susu khas serta ubat-ubatan. Ia memerlukan belanja yang tinggi setiap bulan.

“Anak saya yang lain, tiga masih di sekolah menengah dan seorang berada di darjah empat. Alhamdulilah, biarlah terpaksa mengikat perut dan berjimat cermat asalkan semua ini dapat diatasi dengan baik walaupun sesekali saya terputus punca kewangan kerana tidak dapat keluar berniaga,” katanya ketika ditemui di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang, hari ini.

Bagaimanapun, Abdul Wahab berkata, dia bersyukur mempunyai perniagaan menjual air yang diusahakan sejak 20 tahun lalu itu kerana boleh menampung keperluan hidupnya.

“Ada ketika saya terpaksa tidak berniaga kerana masalah kesihatan, apatah lagi perlu memberi tumpuan kepada isteri yang kini terlantar sakit.

“Apa yang merunsingkan apabila sesi baharu persekolahan bakal tiba, tetapi persiapan persekolahan anak masih belum dibuat.

“Sekarang sudah empat hari saya tidak berniaga kerana terpaksa berulang-alik ke hospital untuk menjaga isteri yang sedang dirawat akibat diserang sawan pada Jumaat lalu,” katanya.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghubungi Abdul Wahab di talian 016-7179098.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 7:49 PM