LIYANA Syafiqah (tiga dari kiri) bersama  Sazali(duduk di atas kerusi roda) ketika diziarahi melalui Program Ziarah Amal Jalinan Kasih di kediamannya di Kampung 45, Jalan Johor, Simpang Renggam, hari ini. FOTO Adnan Ibrahim.
LIYANA Syafiqah (tiga dari kiri) bersama Sazali(duduk di atas kerusi roda) ketika diziarahi melalui Program Ziarah Amal Jalinan Kasih di kediamannya di Kampung 45, Jalan Johor, Simpang Renggam, hari ini. FOTO Adnan Ibrahim.
Adnan Ibrahim


GADIS juga anak sulung daripada lima beradik bukan sahaja sanggup berhenti kerja, malah menangguhkan hasrat untuk berumah tangga bagi memberikan tumpuan menjaga ayahnya yang lumpuh separuh badan dan kebajikan adiknya.

Liyana Syafiqah Sazali, 25, berkata ayahnya, Sazali Harun, 58, diserang penyakit angin ahmar pada 2010 dan 2017 sebelum serangan kali ketiga pada Julai lalu menyebabkan sebelah kanan badannya lumpuh.

Menurutnya, dia berhenti kerja sejak tahun lalu bagi menguruskan ayahnya, sekali gus menggantikan peranan ibunya yang meninggal dunia pada 2013.

Katanya, selain angin ahmar, ayahnya turut menghidap penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan sawan sehingga menyebabkannya tidak boleh melakukan apa-apa pekerjaan dan hanya bergerak dengan kerusi roda untuk ke bilik air atau mandi.

“Keadaan ini menyebabkan kami terputus punca pendapatan dan hanya bergantung harap kepada adik keduanya berusia 23 tahun yang baharu bekerja kilang di Kuala Lumpur dan adik keempat berusia 20 tahun yang menjual bubur nasi, dekat sini.

“Adik saya yang ketiga berusia 21 tahun terpaksa berhenti kerja baru-baru ini kerana kilang tempatnya bekerja menutup operasi, manakala adik bongsu baru berusia 16 tahun,” katanya ketika ditemui selepas menerima lawatan Program Ziarah Amal Jalinan Kasih anjuran Srikandi PKR Johor dengan kerjasama PKR Cabang Simpang Renggam di kediamannya di Kampung 45, Jalan Johor, Simpang Renggam, hari ini.

Liyana Syafiqah berkata, sebelum ini ayahnya bekerja sebagai pemandu lori, tetapi akibat caruman tidak mencukupi menyebabkan permohonan untuk mendapatkan pencen Ilat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tidak diluluskan dan kini semua perbelanjaan perubatannya perlu tanggung sendiri.

Katanya, adik bongsunya, Mohd Syakir, yang bersekolah di Tingkatan Empat memerlukan perhatian dan keadaan itu terpaksa dihadapinya dengan tabah bagi memastikan tidak ketinggalan dari segi pendidikan yang mampu mengubah kehidupan keluarga satu hari nanti.

“Untuk menampung keperluan lampin pakai buang serta kos perubatan ayah, saya perlu mengasingkan kira-kira RM700 duit gaji dua adik yang bekerja selain wang bantuan Jabatan Kebajikkan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 10:20 PM