Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Di usia mencecah 89 tahun, warga emas ini memiliki kudrat menunggang motosikal untuk menjaja keliling kampung dengan menjual makanan ringan untuk kelangsungan hidup.

Malah, Abdul Kadir Mamat dari Kampung Kota Jembal, di sini, juga aktif menyertai rondaan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) pada setiap malam.

Bagaimanapun, warga emas yang pernah menjadi pelakon tambahan dalam empat filem arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee itu kini sudah seminggu terlantar di rumah akibat diserang strok.

Abdul Kadir yang mesra disapa Pak Dir berkata, dia yang dijaga isterinya, Hasmah Yusof, 56, juga menghidap kanser prostat dan asma sejak beberapa tahun lalu.

"Walaupun memakai beg stoma disebabkan kanser prostat, saya tetap boleh menunggang motosikal sama ada menjaja makanan ringan atau meronda sekitar kampung.

"Bagaimanapun sejak minggu lalu, saya terlantar kerana diserang strok sebelah kanan badan sekali gus menyukarkan pergerakan dan perlu bergantung kepada isteri," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Pak Dir yang sudah lima kali berkahwin dan tidak dikurniakan cahaya mata bergantung hidup kepada hasil jualan bertih jagung, selain turut menerima bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sebanyak RM400 sebulan.

Menurutnya, walaupun sedang membiasakan diri dengan hidup terlantar, nalurinya seakan kembali meronta untuk kembali aktif bekerja.

"Sebolehnya saya enggan menyusahkan isteri dan nasib saya agak baik kerana masih mampu mengesot untuk ke bilik air sama ada membuang air atau mandi cuma untuk bekerja sahaja tidak boleh," katanya.

Mengakui kenangan sepanjang berlakon suatu ketika dulu masih segar di ingatan, Pak Dir bagaimanapun tidak terlalu ralat apabila pelakon lama semakin dilupakan kerana menganggap ia adalah lumrah kehidupan.

Antara filem yang dilakonkannya adalah Ali Baba Bujang Lapok, Kanchang Tirana, Enam Jahanam dan Pendekar Bujang Lapok.

"Walaupun hanya muncul sebagai watak kecil sahaja dalam empat filem itu, masih ada juga pihak yang datang menziarah antaranya Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) yang diwakili Datuk DJ Dave serta Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) tiga tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Disember 2021 @ 1:48 PM
KADIR melihat album gambar dirinya ketika bergelar pelakon suatu ketika dahulu dan pernah melakonkan watak kecil dalam empat filem arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee. FOTO Siti Rohana Idris
KADIR melihat album gambar dirinya ketika bergelar pelakon suatu ketika dahulu dan pernah melakonkan watak kecil dalam empat filem arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee. FOTO Siti Rohana Idris