Muhammad Mikaaeel  yang berpakaian pengantin Arab   mencuri perhatian ramai.
Muhammad Mikaaeel yang berpakaian pengantin Arab mencuri perhatian ramai.
Faliq Lajim


Shah Alam: Kehadiran seorang kanak-kanak lelaki berpakaian seperti pengantin dari negara Timur Tengah menarik perhatian orang ramai pada program Sunathon di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong di sini, kelmarin.

Program disertai lebih 150 kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun membabitkan golongan asnaf, mualaf dan anak yatim dianjurkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Worldwide Holdings Bhd (WHB).

Kanak-kanak itu Muhammad Mikaaeel Muhammad Murshid, 5, berkata dia teruja menyertai program berkhatan itu, malah langsung tidak berasa takut atau sakit sepanjang proses bersunat dilakukan.

 Pengerusi MAIS Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa  memandikan peserta berkhatan pada   program Sunathon di Masjid Tengku Ampuan Jemaah.
Pengerusi MAIS Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa memandikan peserta berkhatan pada program Sunathon di Masjid Tengku Ampuan Jemaah.

“Sebelum ini, saya selalu datang dengan keluarga ke masjid ini. Beberapa bulan lalu, saya ada ternampak program bersunat lalu terus minta daddy untuk turut bersunat secepat mungkin supaya boleh menjadi lelaki dewasa,” katanya ketika ditemui, di sini.

Hadir sama, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif LZS Abdul Basith Hamid dan Ketua Komunikasi Korporat WHB Ami Nardin Ishak.

Ibu Muhammad Mikaaeel, Elliz Ramskay, 30, berkata, dia sekeluarga tidak menyangka anaknya mahu berkhatan pada usia berkenaan.

“Dia yang minta (disunatkan), kami sekeluarga hanya turutkan saja. Dia langsung tidak takut, malah teruja apabila saya dan suami kata nak membawa dia sunat pada cuti sekolah ini,” katanya.

SEORANG kanak-kanak ditenangkan sebelum berkhatan.
SEORANG kanak-kanak ditenangkan sebelum berkhatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 11:13 AM