PASUKAN keselamatan menjalan operasi mencari dan menyelamat guru yang dikhuatiri lemas di Sungai Setiu, dekat Jambatan Bandar Permaisuri. FOTO ihsan pembaca
PASUKAN keselamatan menjalan operasi mencari dan menyelamat guru yang dikhuatiri lemas di Sungai Setiu, dekat Jambatan Bandar Permaisuri. FOTO ihsan pembaca
Hanneeyzah Bariah Baharin


GURU dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika mandi bersama tiga yang lain di Sungai Setiu, dekat Jambatan Bandar Permaisuri, hari ini.

Dalam kejadian 4.10 petang itu, mangsa dikenali sebagai Abd Rauf Mohd Zulkarnain, 27, yang bekerja sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Tiara Permai, Sentul, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, mangsa yang berasal dari Kampung Buluh, Bandar Permaisuri baru tiba ke kampungnya, hari ini.

Beliau berkata, mangsa dikatakan datang ke kawasan sungai itu bersama adik lelakinya, Abd Wafi dan dua rakan yang kesemuanya berusia 17 tahun pada 3.40 petang.

"Sebelum kejadian, mereka mandi di sungai berkenaan yang agak deras sebelum mangsa dikatakan dibawa arus kira-kira setengah jam kemudian.

"Ketika kejadian, cuaca hujan renyai dan arus sungai agak deras berikutan hujan lebat dan banjir yang mula melanda sebahagian kawasan di daerah ini," katanya ketika dihubungi di Permaisuri, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 4.26 petang dan usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa giat dijalankan.

Katanya, operasi SAR turut disertai bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 11:42 PM