KUIL berkenaan. FOTO Arkib NSTP
KUIL berkenaan. FOTO Arkib NSTP
Siraj Mohd Zaini


POLIS menahan tiga lagi individu bagi membantu siasatan kes rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan 102 orang ditahan berhubung insiden berkenaan, setakat ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, ia adalah jumlah tangkapan terkini, sehingga jam 8 pagi hari ini.

Menurutnya, ketiga-tiga mereka ditahan di sekitar Selangor, antara malam semalam, sehingga pagi ini.

“Dengan tangkapan ini, seramai 102 individu ditahan yang mana ia terdiri daripada 49 lelaki Melayu, 44 lelaki India dan seorang lelaki Cina serta lapan lelaki India Muslim.

“Daripada jumlah keseluruhan tangkapan ini, ada antara mereka yang sudah didakwa di mahkamah," katanya pada sidang media selepas Majlis Maulidur Rasul peringkat Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, di Shah Alam, hari ini.

Insiden pada 26 November itu mengakibatkan seorang anggota bomba parah dan 23 kenderaan dibakar.

Selain itu, kerosakan bangunan dan gangguan ketenteraman awam.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan berkaitan EXCO Selangor, V Ganabatirau sebelum dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya.

“Rakaman percakapan beliau sudah diambil, kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mazlan berkata dua kakitangan syarikat pemaju yang ditahan sebelum ini sudah dibebaskan dengan jaminan bon, pada 4.45 petang semalam.

“Jaminan dibenarkan oleh Majistret dengan bon mengikut Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah sebanyak RM10,000 tanpa cagaran.

“Kedua-dua tertuduh akan hadir semula ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 12 Disember ini untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 2:46 PM