JAMAL  Harizan (tengah) menunjukkan racun perosak tidak berdaftar yang dirampas dalam operasi di Perak dalam sidang media di Putrajaya, semalam.
JAMAL Harizan (tengah) menunjukkan racun perosak tidak berdaftar yang dirampas dalam operasi di Perak dalam sidang media di Putrajaya, semalam.
Suhaila Shahrul Annuar

Putrajaya: Jabatan Pertanian mengesan penjualan secara berleluasa racun makhluk perosak tidak berdaftar di pasaran tempatan yang dikhuatiri boleh mengancam keselamatan makanan negara.

Ketua Pengarahnya Datuk Jamal Harizan Yang Razali berkata, pengguna dan petani dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan sindiket yang menjual racun makhluk perosak tidak berdaftar dan sentiasa menggunakan racun makhluk perosak yang berdaftar untuk tanaman mereka.

Beliau berkata, racun makhluk perosak tidak berdaftar biasanya dijual dengan harga 40 peratus lebih murah berbanding racun yang berdaftar, selain tidak mempunyai label khas yang dikeluarkan Jabatan Pertanian.

“Sebagai contoh, racun paraquat yang tidak berdaftar dijual RM120 untuk dua liter berbanding harga racun berdaftar RM160. Apabila harga murah, mereka terus beli tanpa fikir panjang sedangkan berbahaya kepada kesihatan manusia serta alam sekitar, sekali gus mengancam keselamatan makanan negara.

“Setakat ini, kami kesan banyak dijual di negeri yang bersempadan dengan negara jiran terutama di utara tanah air seperti Perak, Kedah dan Perlis serta Kelantan, jadi kita akan terus menggiatkan serbuan di kawasan yang terbabit,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, dalam operasi yang dijalankan pada 27 hingga 29 November lalu, Jabatan Pertanian membuat serbuan di lima premis di daerah Kinta dan Pengkalan Hulu, Perak dan merampas racun makhluk perosak tidak berdaftar dengan nilai anggaran RM1.146 juta.

“Racun makhluk perosak yang dirampas adalah bagi kegunaan kawalan rumpai dan serangga yang disyaki mengandungi perawis aktif tidak berdaftar dan diharamkan penggunaannya di Malaysia selain mengandungi perawis aktif yang dihadkan penggunaannya seperti methamidhopos, monocrotophos dan paraquat yang mana jualan dan penggunaannya memerlukan permit.

“Kes disiasat mengikut Akta Racun Makhluk Perosak 1974 mengikut Seksyen 13(1) iaitu mengilang racun makhluk perosak tidak berdaftar. Ia juga disiasat mengikut Seksyen 20(3), iaitu menjual racun makhluk perosak tidak berdaftar dan Seksyen 53A(1)(a) iaitu memiliki racun makhluk perosak tidak berdaftar.

“Bagi kesalahan mengikut Seksyen 13(1), jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 13(2) akta sama iaitu bagi kesalahan kali pertama dipenjara selama lima tahun atau denda RM50,000 manakala bagi kesalahan mengikut Seksyen 20(3) boleh dihukum mengikut Seksyen 20(4) akta sama yang mana bagi kesalahan pertama boleh dipenjarakan selama tiga tahun atau denda RM10,000.

“Bagi kesalahan mengikut Seksyen 53A(1)(a), pesalah boleh dihukum mengikut Seksyen 53A(2) akta sama iaitu dipenjarakan selama setahun atau didenda RM10,000 bagi kesalahan pertama,” katanya.

Jamal Harizan berkata, pengguna boleh mendapatkan maklumat racun makhluk perosak melalui Sistem Maklumat Racun Makhluk Perosak (SISMARP) di laman sesawang Jabatan Pertanian di www.doa.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 11:01 AM