Mohamad Fais Jusoh

Kuala Lumpur: Sebanyak 35 tan racun tidak berdaftar bernilai hampir setengah juta dirampas dalam serbuan di sebuah premis penyimpanan, penjualan dan pengedaran racun makhluk perosak di Rawang, Selasa lalu.

Serbuan dijalankan anggota penguat kuasa Bahagian Kawalan Racun Perosak dan Baja, Jabatan Pertanian hasil maklumat daripada orang awam.

Ketua Pengarah Pertanian Mohd Nasir Warris berkata, dalam serbuan itu, 32 jenis racun makhluk perosak berbeza dirampas.

Katanya, antaranya racun untuk kegunaan kawalan rumpai pelbagai jenama yang disyaki mengandungi perawis aktif Paraquat Dichloride yang tidak berdaftar.

"Siasatan awal mendapati pengilang beroperasi secara haram sejak awal tahun ini.

GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

"Ada racun yang dilabel menggunakan tulisan dari negara jiran selain label yang mengelirukan.

"Ia satu taktik untuk mengelirukan petani yang beranggapan baja dari negara jiran lebih efektif, tetapi sebenarnya berbahaya kepada tanaman dan pengguna racun itu sendiri," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Mohd Nasir berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 13(1)(b) Akta Racun Makhluk Perosak 1974 iaitu mengilang racun makhluk perosak tidak berdaftar; Seksyen 20(3) iaitu menjual racun makhluk perosak tidak berdaftar dan Seksyen 53A (1)(a) iaitu memiliki racun makhluk perosak tidak berdaftar.

Beliau berkata, pihaknya akan terus menggiatkan usaha membanteras racun perosak tidak berdaftar demi mengutamakan kepentingan pengguna dan masyarakat.

"Setakat ini belum ada tangkapan, tetapi kita sudah ada maklumat mereka yang terbabit dan kita akan pergi juga kepada pengilang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2020 @ 11:26 AM