Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Mengisytiharkan konsainan sebagai baja, tetapi membawa masuk racun makhluk perosak tidak berdaftar bagi mengaburi pihak berkuasa negara ini.

Bagaimanapun, perbuatan itu terbongkar apabila Seksyen Penguatkuasaan, Bahagian Kawalan Racun Perosak dan Baja Jabatan Pertanian merampas 80 tong seberat 17,600 kilogram (kg) racun mahkluk perosak dikenali 'paraquat dichloride' bernilai RM171,212.

Rampasan dilakukan hasil maklumat Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), Butterworth pada 26 Mac lalu.

Ketua Pengarah Pertanian Datuk Mohd Nasir Warris berkata, pemeriksaan yang dibuat Maqis mendapati racun perosak itu diimport dari syarikat berpangkalan di Wilayah Anhui, China dengan mengisytiharkan sebagai baja.

"Siasatan lanjut mendapati racun mahkluk perosak yang dipercayai mengandungi perasis aktif 'paraquat dichloride' itu diharamkan di negara ini mulai 1 Januari tahun lalu.

"Ini disebabkan penggunaannya berbahaya kerana boleh merosakkan mata, cirit-birit, pengsan dan boleh menyebabkan kematian selain tiada penawar," katanya pada sidang media di Kompleks Pertanian Bumbung Lima, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Kawalan Racun Perosak dan Baja, Mat Lesak Ngathinee dan Pengarah Maqis Pulau Pinang Noriah Dahlan.

Mohd Nasir berkata, kesalahan itu disiasat mengikut Seksyen 13(1) Akta Racun Makhluk Perosak 1974, iaitu memgimport racun makhluk tidak berdaftar.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara lima tahun atau didenda RM50,000.

Mohd Nasir berkata, selain Malaysia, banyak negara lain mengambil langkah mengharamkan penggunaan racun mahkluk perosak berkenaan.

MOHD Nasir (kanan) bersama Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang, Noriah menunjukkan antara 80 tong racun perosak tidak berdaftar yang dirampas ketika sidang media di Kompleks Pertanian Bumbung Lima. FOTO Danial Saad
MOHD Nasir (kanan) bersama Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang, Noriah menunjukkan antara 80 tong racun perosak tidak berdaftar yang dirampas ketika sidang media di Kompleks Pertanian Bumbung Lima. FOTO Danial Saad

"Racun perosak ini digunakan untuk membunuh semua jenis rumpai yang kesannya hanya dalam tempoh beberapa jam sahaja hingga menyebabkan banyak petani suka menggunakannya.

"Namun, Malaysia mempunyai banyak alternatif racun perosak lain yang boleh digunakan. Walaupun kesannya tidak cepat, tetapi selamat digunakan termasuk dari segi harga," katanya.

Katanya, pihaknya sentiasa komited dalam membanteras pengimportan dan penjualan racun makhluk perosak tidak berdaftar di pasaran.

"Sebanyak 500 pemeriksaan diadakan tahun lalu bagi membanteras kegiatan ini dan daripada jumlah itu, 40 premis diambil tindakan kerana menjual racun perosak tidak berdaftar ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 2:21 PM