Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui Unit Serbuan Bahagian Kawalan Racun dan Baja akan melakukan penguatkuasaan di pintu masuk sempadan negara bagi mengelak racun paraquat haram diseludup masuk.
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui Unit Serbuan Bahagian Kawalan Racun dan Baja akan melakukan penguatkuasaan di pintu masuk sempadan negara bagi mengelak racun paraquat haram diseludup masuk.
Samadi Ahmad


JABATAN Pertanian Malaysia akan menguatkuasakan pengharaman penggunaan racun paraquat dalam pertanian bermula awal Januari tahun depan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata, penggunaan racun tidak berdaftar itu bukan saja menyebabkan keselamatan makanan negara terancam malah, turut membahayakan kesihatan masyarakat dan merosakkan alam sekitar.

Menurutnya, penggunaan racun itu hanya terhad kepada empat jenis tanaman sahaja iaitu kelapa sawit berusia bawah dua tahun, getah, padi bukit dan kegunaan membunuh tunggul tanaman nanas yang dipantau mengikut Peraturan-Peraturan Racun Makhluk Perosak (Racun Makhluk Perosak Amat Berbisa) 1996.

“Racun makhluk perosak yang tidak didaftarkan itu dijual pada harga lebih murah berbanding racun berdaftar sekali gus menyebabkan golongan petani memilih jalan mudah untuk penjimatan,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Pengharaman Paraquat di kementeriannya di Putrajaya tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salim Parlan dan Ketua Pengarah Pertanian Datuk Jamal Harizan Yang Razali.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, racun paraquat dipercayai mengandungi perawis aktif yang menyebabkan sifat membunuh kepada rumpai apabila terkena pada bahagian tumbuhan dan bertindak cepat serta tahan siraman hujan walaupun dalam masa singkat selepas kerja semburan dilaksanakan.

“Justeru, bagi mengatasi masalah lambakan racun makhluk perosak tidak berdaftar ini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui Unit Serbuan Bahagian Kawalan Racun dan Baja akan melakukan penguatkuasaan lebih kerap terutamanya membabitkan kawasan panas dan di pintu masuk sempadan negara.

“Pengguna dan petani dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan sindiket yang menjual racun makhluk perosak tidak berdaftar itu dan apabila dikuatkuasakan, pengguna ingkar boleh dikenakan denda RM10,000 bagi kesalahan pertama dan RM50,000 bagi kesalahan kedua mengikut Akta Racun 1952,” katanya.

Sebelum ini, cadangan pengharaman paraquat diusulkan Kementerian Kesihatan pada 1985 dan pada masa sama, Jabatan Pertanian Malaysia melalui Lembaga Racun Makhluk Perosak mengambil pendekatan berhemah semenjak 2006 dalam menuju pengharaman racun berkenaan.

Racun berkenaan tiada antidot dan tidak mudah terurai dalam tanah serta mendatangkan kesan buruk jangka panjang seperti dermatitis, kegagalan buah pinggang, kegagalan pernafasan, kanser kulit, parkinson, ketidaksuburan, keguguran dan kecacatan bayi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 5:53 PM