PELAJAR bermain catur pada Kejohanan Catur Komuniti Pelajar Orang Asli Peringkat Negeri di SK Buluh Nipis. FOTO Muhd Asyraf Sawal
PELAJAR bermain catur pada Kejohanan Catur Komuniti Pelajar Orang Asli Peringkat Negeri di SK Buluh Nipis. FOTO Muhd Asyraf Sawal
TN Alagesh

SEKOLAH Kebangsaan (SK) Buluh Nipis dekat Rompin menjadikan catur lebih menarik selepas mencipta fenomena dengan menggalakkan murid Orang Asli di situ meminati permainan berkenaan.

Selain menumpukan kepada taktikal dalam corak permainan, guru sekolah berkenaan menghasilkan inovasi dengan mengubahsuai papan catur digunakan bagi menjadikan alat bantuan mengajar.

Guru Besar SK Buluh Nipis, Mohd Shari Muda berkata, memandangkan kebanyakan murid menggunakan kaedah congakan dengan jari dalam setiap pergerakan catur mereka, guru sekolah itu menerapkan kaedah 'Caturmatik' bagi menjadikan permainan itu lebih menarik.

"Setakat ini, kaedah 'Caturmatik' memberikan reaksi positif dalam kalangan murid yang sangat meminati permainan ini.

"Ia berkaitan dengan pengiraan secara aritmetik dan sehingga kini, kira-kira 70 peratus murid sekolah ini sudah menguasai permainan catur.

"Kaedah ini merangkumi prinsip pengiraan asas membabitkan operasi tambah, tolak, bahagi dan darab... memang kita dapat lihat kemahiran murid meningkat, bukan sahaja dalam permainan catur, tapi turut menambah penguasaan mereka dalam (mata pelajaran) Matematik," katanya.

Mohd Shari berkata, 10 set papan catur yang dimiliki sekolah itu sudah diubahsuai bagi menyesuaikannya dengan kaedah 'Caturmatik' diperkenalkan kepada mereka.

"Setiap kali mereka bermain, murid perlu melakukan pengiraan berdasarkan cetakan nombor yang terdapat pada papan catur terbabit.

"Murid perlu menulis nombor yang terdapat dalam setiap gerakan dibuat, mendarab nombor dan menambahnya dengan mencatat pada kertas berasingan.

"Pendekatan ini sangat berkesan dalam menguji kecekapan mereka melakukan gerakan, sambil menajamkan kemahiran mereka subjek berkenaan," katanya.

Murid Tahun Enam, Zahmiza Zin, 12, berkata, subjek Matematik adalah sangat mencabar dan inovasi dilakukan guru sekolah itu membantu mereka lebih meminati mata pelajaran berkenaan.

SK Buluh Nipis adalah sekolah Orang Asli yang terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar Muadzam Shah, di sini,mula mendapat perhatian apabila beberapa murid sekolah itu muncul sebagai johan dalam pertandingan catur peringkat daerah dan negeri ini.

Dua murid sekolah itu turut mencuri perhatian apabila memenangi pingat emas pada Pertandingan Catur Peringkat Kumpulan Umur ASEAN Ke-18, selain turut memperoleh satu pingat perak dan dua gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 November 2018 @ 8:51 AM