Sesetengah proses pembelajaran secara ­tradisional menggunakan kaedah 'memberi' dan menghafal yang boleh menghalang sistem otak bekerja secara semula jadi menyebabkan kanak-kanak tidak mahu ke sekolah.

Kaedah itu juga kini ­dilihat menjadi antara faktor yang membuatkan mereka mencapai skor markah rendah dan ­tertekan kerana perlu melalui tempoh belajar yang membosankan di dalam kelas.

Kanak-kanak dan pelajar generasi hari ini memerlukan pendekatan yang lebih proaktif dan membabitkan mereka secara langsung dalam pembelajaran terutama subjek yang dianggap susah dan membosankan seperti matematik.

Selain menghantar anak ke kelas tambahan yang menawarkan kaedah pembelajaran yang menyeronokkan, anda juga boleh membantu anak menguasai ilmu kira-kira dengan:

Memberi galakan

Galakkan anak belajar matematik. Apakah cara yang fikirkan sesuai untuk memberi galakan kepada mereka belajar dengan baik sama ada menambah masa di dalam kelas, menjadi inspirasi si kecil atau tidak menghiraukan prestasi anak?

Teruskan usaha ­mengajar anak secara konsisten. Duduk ­dengan mereka setiap hari atau sekurang-kurangnya dua minggu sekali untuk ­menyuntik fius di dalam minda mereka me­ngenai subjek matematik yang ­mudah dengan cara ­bermain dan menyeronok­kan.

Mulakan mengajar anak dengan aktiviti interaktif. Banyak pilihan dan kaedah yang boleh digunakan untuk menarik perhatian mereka seperti kad imbas atau cuba bermula dengan pengiraan yang mudah.

Biarkan anak memegang objek kecil dan biarkan mereka menggunakannya untuk mengira bagi menyelesaikan masalah matematik yang diberikan.

Pastikan mereka ­belajar untuk mengira ­menggunakan jari jika tiada alatan sesuai untuk ­membuat kiraan.

Mengajar konsep pengiraan

Ajar anak menggunakan konsep yang sesuai untuk menyelesaikan masalah matematik dan bukan ­dengan menggunakan kaedah hafalan.

Walaupun ada kalanya teknik hafalan atau ingatan boleh membantu, sebaiknya biarkan anak belajar dengan betul bagaimana matematik itu berfungsi.

Ia sedikit sebanyak boleh membantu untuk belajar teknik pengiraan yang lebih sukar berbanding sebelum ini. Banyakkan aktiviti mengira bagi menunjukkan cara konsep pengiraan boleh menyelesaikan masalah matematik.

Jadikan pembelajaran matematik 'hidup'

Tambahkan pengalaman belajar si kecil ­dengan ­bermain permainan ­menggunakan bara­ngan yang ada di sekeliling kita. Misalnya, ajar anak mengira bilangan gambar

yang ­terdapat pada dinding di dalam bilik dan ruang tamu.

Selaiwn itu, boleh cuba mengajak anak membuat biskut dan suruh si kecil mengira berapa bilangan kucing yang ada di dalam rumah ketika proses memasak untuk menarik perhatian mereka.

Ketika memandu, anda boleh meminta anak ­mengira nombor pendaftaran kenderaan hadapan. Ia secara tidak langsung ­menjadikan perjalanan anda lebih meriah dan bermanfaat.

Tingkatkan usaha

Berikan anak hadiah sama ada dengan pemberian kecil seperti gula-gula untuk memuji atau menunjukkan kebijaksanaan anak ketika mereka berjaya menyelesaikan masalah. Ini sedikit sebanyak boleh menambah keyakinan diri dan menggalakkan mereka untuk berusaha dengan lebih rajin.

Jangan berhenti memberi tunjuk ajar kepada anak dalam penyelesaian ­matematik dengan cara ­menarik. Sentiasa latih ­kemahiran mengira agar ia kekal di dalam kotak fikiran si kecil dalam tempoh lama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 January 2015 @ 5:00 AM