APLIKASI Telegram dijadikan platform kelas secara maya.
APLIKASI Telegram dijadikan platform kelas secara maya.
Lizam Ridzuan dan Muhammad Saufi Hassan dan Nor ‘Asyikin Mat Hayin

TEMPOH Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukanlah ‘cuti semester’ lanjutan buat pelajar atau murid terutama yang bakal menduduki peperiksaan penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Ujian Penilaian Sekolah rendah (UPSR).

Menyedari cabaran baru dihadapi golongan itu, wujud inisiatif dalam kalangan guru untuk menyediakan platform kelas secara maya yang dibuat menerusi beberapa perisian atau aplikasi video yang membolehkan kedua-duanya saling berinteraksi dalam penyampaian ilmu.

Bagi yang mungkin tidak mempunyai keupayaan infrastruktur seperti talian Internet yang baik bagi penstriman pengajaran video, medium pembelajaran turut dilakukan menerusi aplikasi WhatsApp atau Telegram dalam bentuk muat naik video.

Selain itu, kreativiti guru dalam meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) tetap diteruskan menerusi rakaman pengajaran suara bagi mata pelajaran yang tidak begitu teknikal seperti sejarah atau pengajian Islam dan tugasan diberikan secara dalam talian.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri Titiwangsa, Kuala Lumpur, Mohd Hafizi Isa, 34, turut mengambil pendekatan meneruskan sesi pembelajaran secara maya.

Mohd Hafizi yang mengajar mata pelajaran Matematik dan Matematik Tambahan mengakui wujud cabaran memandangkan dua mata pelajaran itu diklasifikasikan sebagai kritikal dan memerlukan pengajaran teliti untuk memberi kefahaman kepada pelajar.

“Sebelum memulakan inisiatif ini, saya ada bertanya kepada pelajar sama ada mahu menggunakan rakaman video, penstriman atau rakam suara serta tugasan dalam format Google Forms.

“Kebanyakan mereka memilih untuk rakaman suara serta format Google Forms namun ada juga saya selit beberapa video terutamanya membabitkan kaedah pengiraan yang ada kalanya agak rumit.

“Pelajar juga digalakkan untuk bertanya kaedah pengiraan dan sebagainya, apa yang penting ialah mereka faham,” katanya.

Mohd Hafizi berkata, ada juga pelajar yang tidak mempunyai telefon pintar dan menggunakan peranti milik ibu bapa untuk melihat tugasan terkini.

“Sebagai guru, saya faham situasi semasa pelajar. Saya hadkan penghantaran video panjang kerana ia memerlukan data Internet yang besar.

“Kaedah lebih praktikal adalah video pendek, lakaran atau lakaran bersama penerangan rakaman suara,” katanya.

Menurut Mohd Hafizi, beliau juga menggunakan Zoom untuk pengajaran namun ia terhad kepada 40 minit saja memandangkan ia pakej percuma.

“Ia tidak menjadi masalah, asalkan matlamat asal untuk memberi penerangan sampai kepada pelajar.

“Penggunaan semua kaedah maya ini tidak memberi masalah kepada saya atau pelajar. Perkara utama ialah golongan ini dapat terus belajar,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 7:30 AM