Gambar hiasan
Gambar hiasan
Hidir Reduan Abdul Rashid

DEWAN Rakyat gamat dengan hilai tawa selepas seorang ahli pembangkang mencadangkan kerajaan menjenamakan semula beras keluaran Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).

Datuk Mohd Salim Sharif (BN UMNO-Jempol) berkata, Belanjawan 2019 sepatutnya menyediakan peruntukan untuk menjenamakan semula beras keluaran BERNAS dan mengagihkannya kepada golongan memerlukan, terutama di luar bandar.

“Saya beri contoh, kita boleh ada Beras Wangi Super Cap Langkawi, Beras Perang Cap Bagan dan Beras Hancur Cap Jelutong,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

Cadangannya itu menyebabkan dewan riuh gegak-gempita dengan gelak tawa Ahli Parlimen.

Langkawi merujuk kepada kawasan diwakili Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad manakala Bagan pula Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Jelutong diwakili Ahli Parlimen DAP, RSN Rayer yang dikenali kerap bangun mencelah dan mengganggu perbahasan.

Seperti diduga, Rayer bangun mencelah perbahasan sejurus sebelum waktu rehat tengah hari itu dan berkata: “Beras hancur patutnya cap Pekan (kawasan diwakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak).”

Datuk Seri Dr Adham Baba (BN UMNO-Tenggara) kemudian bangun dan bertanya beras jenis apa yang sesuai sebelum Mohd Salim secara serius menyatakan beras hancur tidak boleh dipandang rendah kerana ia adalah produk berkualiti.

“Beras hancur ni bagus, boleh buat jadi capati dan tosai. Jangan pandang negatif sebab kadang-kadang harga beras hancur lagi mahal,” katanya sambil sekali lagi menggamatkan dewan.

Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN UMNO-Lipis) kemudian bangun bertanya: “Siapa nak makan capati?”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 9:33 PM