Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu).
Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu).
Hayati Ibrahim dan Suraya Roslan


"ITU saya kata kadang-kadang kita jangan 'kongkalikung.' Kita cek dulu apa kita sudah cerita ketika dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH)... barulah cerita, surat khabar masih ada, sosial media rekod semua ada," kata Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu).

Beliau berkata demikian ketika membidas kenyataan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang menyatakan Tiong mengeluarkan kenyataan mengelirukan ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan diraja.

Terdahulu, Tiong memulakan ucapannya dengan menyatakan, walaupun menyedari wabak Covid-19 sudah menular dalam negara, tetapi kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu masih tidak mengambil tindakan menyekat kemasukan pelancong.

"Pada masa itu, kita (kerajaan PH) nak berniaga saja, tetapi nyawa rakyat tidak ambil serius.

"Sehinggalah, pada 10 Mac kerajaan baharu (Perikatan Nasional) ditubuhkan, barulah kita ambil tindakan serius dan rakyat kata kali ini 'terima kasih'," katanya.

Kenyataan itu menyebabkan Rayer bangun mencelah sebelum dibenarkan Timbalan Yang Dipertua, Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Sambil merujuk kepada Peraturan Mesyuarat 36 (12), Rayer berkata, ucapan Yang Berhormat (YB) Bintulu menunjukkan seolah-olah hanya kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil berat ketika menangani pandemik Covid-19 tidak ikhlas.

"Saya minta YB Bintulu lebih ikhlas ketika membuat ucapan. Mantan Menteri Kesihatan sudah ambil langkah (menangani wabak Covid-19)," katanya.

Bagaimanapun, Tiong kemudian berkata, apa yang dimaklumkan kepada dewan adalah cerita benar.

"Apa mahu lawan, lawan apa guna. Cerita yang saya beritahu adalah benar, 10 Mac kita (kerajaan PN) tubuh kerajaaan, 18 Mac kita sudah laksanakan 'lockdown' (Perintah Kawalan Pergerakan). Itulah kerajaan, rakyat ucap terima kasih kepada kerajaan," katanya.

Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) kemudian bangun dan cuba mencelah, bagaimanapun Tiong tidak membenarkan dengan menyatakan tindakan itu hanya membuang masa, sedangkan beliau hanya mempunyai masa 10 minit untuk membahaskan usul.

"Ini cerita benar, jangan buat publisiti," katanya.

Rayer cuba mencelah sekali lagi, namun Tiong tidak memberikan laluan dan berkata: 'Ini saya berbahas ke dia (Rayer) berbahas"

Datuk Seri Bung Mukhtar Radin (BN-Kinabatangan) Bung Mokhtar kemudian bangun mencelah dengan meminta Rayer menunggu sehingga ucapan YB Bintulu selesai, sebelum memberi ulasan.

Namun, Rayer tetap cuba mencelah, sehingga ditegur Timbalan Yang Dipertua dan meminta Tiong meneruskan ucapan kerana beliau sudah memberikan penjelasan.

Tiong meneruskan dengan memaklumkan kerajaan PN mengambil tindakan cukup berkesan menangani wabak Covid-19, namun terdapat beberapa perkara yang perlu ditambah baik.

"Ketika berdepan bencana atau kecemasan jangan terlalu banyak prosedur, tetapi ambil tindakan segera," katanya sambil disokong Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) yang meminta membaiki prosedur standard operasi (SOP) sedia ada.

"Itu cadangan baik, saya setuju. Menteri kesihatan pun ada, jadi kita harap bila ubah sistem bila audit nanti ada sedikit silap sana sini, pembangkang 'kong kali kong' hentam lagi kiri kanan.

"Kita sama-sama menaik taraf mana-mana sistem yang lemah, kena ada kerjasama barulah nyawa rakyat dapat diselamatkan," kata Tiong.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 5:13 PM